'Suara seperti mahu lepaskan diri dari seseorang', pengasuh Zayn Rayyan cerita semula situasi ketika operasi pencarian


Auni Afiqah (kanan) yang hadir di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya untuk memberi keterangannya terhadap kes kematian Zayn Rayyan. — The Star

PENGASUH arwah Zayn Rayyan Abdul Matin hadir memberi keterangan di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.

Auni Afiqah Abas, 30, memberitahu bahawa dia mendengar suara kanak-kanak autisme itu seolah-olah sedang bergelut ketika operasi pencarian dilakukan berhampiran Blok R Pangsapuri Idaman, Damansara Damai, Petaling Jaya pada hari mangsa dilaporkan hilang.

Auni juga disoal jawab oleh peguam Haresh Mahadevan yang mewakili ibu bapa Zayn, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari pada hari kelapan perbicaraan di hadapan Hakim Dr. Syahliza Warnoh.

BACA LAGI: Guru terdengar ibu Zayn Rayyan jerit 'ini salah mummy' sehari lepas dilaporkan hilang

BACA LAGI: Saksi menangis cerita detik jumpa jasad Zayn Rayyan seperti tidur mengiring

3054650

Ismanira dan Zaim Ikhwan yang juga didakwa atas pertuduhan mengabaikan Zayn Rayyan sehingga menyebabkan kematian.

Saksi pendakwaan ke-17 itu turut bersetuju dengan penegasan peguam bela tentang kenyataannya dalam siaran langsung di TikTok bahawa suara Zayn Rayyan kedengaran seperti cuba melarikan diri daripada seseorang.

"Jadi, suara yang anda dengar pada petang 5 Disember 2023 adalah suara arwah Zayn Rayyan, betul?," soal Haresh.

"Ya betul," jawab Auni Afiqah.

Auni berkata, suara Zayn Rayyan itu didengar ketika ibu bapa dan adiknya berusia enam tahun berada di balai polis untuk memfailkan laporan kehilangan.

Dia kemudiannya mengesahkan bahawa ahli keluarganya yang lain turut terdengar suara Zayn Rayyan pada petang itu.

Auni pada masa sama disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Aqharie Durranie Aziz tentang bagaimana dia boleh mengenal pasti suara itu sebagai suara Zayn Rayyan.

"Sebab saya menjaga dia, dan dia pernah membuat bunyi itu sebelum ini.

"Suara seperti mengerang (errrrrrr)," jawabnya.

Terdahulu, Auni yang merupakan penduduk Blok F di kompleks pangsapuri itu, menyatakan Ismanira memaklumkannya tentang kehilangan Zayn Rayyan melalui aplikasi WhatsApp pukul 1 tengah hari.

Dia kemudiannya menyarankan Ismanira untuk mencarinya di tingkat bawah bangunan itu.

Menurutnya, kira-kira pukul 6.30 petang 5 Disember itu, dia dan adik-beradiknya mencari Zayn Rayyan di sekitar Blok R kompleks pangsapuri sambil memanggil namanya.

Auni Afiqah yang menjaga Zayn Rayyan dan adik lelakinya sejak kira-kira Jun atau Julai 2022 menyifatkan bahawa kanak-kanak lelaki itu lembut, ceria dan tidak agresif.

"Dia tidak boleh bercakap, dalam dunianya sendiri dan hanya boleh menyebut 'mommy' untuk merujuk kepada Ismanira.

"Apabila dia mengamuk, dia akan duduk dan membuat pergerakan tangan.

"Namun, apabila saya berkata 'mama,' dia akan tenang," katanya.

Susulan itu, pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira didakwa dan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan mengabaikan anak lelaki autisme mereka yang berusia enam tahun dengan cara yang boleh menyebabkan kecederaan fizikal.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang boleh dikenakan denda maksimum RM50,000, penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram