Hobi berkhemah jadi bisnes, Kemrent Empire sasar 'one-stop centre' barangan aktiviti perkhemahan


  • Bizz
  • Rabu, 19 Feb 2025

Kemrent Empire menyediakan kelengkapan penuh bagi aktiviti perkhemahan. — Kemrent Empire

DI Malaysia, komuniti penggemar aktiviti luar dan berkhemah semakin berkembang terutamanya dalam kalangan anak muda.

Keinginan melarikan diri dari kesibukan bandar menjadi salah satu faktor utama mendorong orang ramai memilih aktiviti berkhemah cara untuk menikmati ketenangan dikelilingi alam semula jadi.

Dengan suasana bandar penuh tekanan, berkhemah memberikan peluang untuk beristirahat dan menyegarkan kembali minda dan tubuh badan atau healing.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Hanya sedia perkhidmatan SMS, syarikat anak Malaysia di Jepun dijual pada nilai cecah lebih RM8 jut

Bagaimanapun, di sebalik peningkatan trend tersebut, ramai individu masih berdepan kekangan untuk menjalani kegiatan luar tersebut.

Kekangan utama adalah dari segi melibatkan kos pembelian peralatan yang agak tinggi meliput barangan seperti khemah, meja dan kelengkapan lain yang boleh mencecah harga ratusan ringgit.

Bagi mereka hanya melakukan aktiviti tersebut sekali-sekala, membelanjakan kos yang banyak bagi pembelian peralatan pastinya dirasakan tidak berbaloi.

6147778353583734641

Kemrent Empire mula diasaskan sekitar 2020 oleh Muhammad Salehin dan isterinya. — Kemrent Empire

Disebabkan itu, terdapat beberapa pihak kini mula menyediakan perkhidmatan sewaan peralatan lengkap kepada orang ramai yang mahu berkhemah.

Antaranya Kemrent Empire yang beroperasi di Petaling Jaya, Selangor.

Kemrent Empire mula diasaskan sekitar 2020 menyediakan perkhidmatan sewaan khemah pelbagai jenis dan saiz, selain kemudahan sampingan lain seperti kerusi lipat, meja, cawan termasuk alatan memasak ketika berkhemah.

Pengasasnya, Muhammad Salehin Abdussalam Ali Badri, 41 berkata, idea untuk menjalankan perkhidmatan tersebut bermula secara tidak sengaja selepas beliau dan isteri, Norhafizah Yusop membina minat terhadap aktiviti berkhemah ketika pandemik Covid-19.

Pasangan itu pada awalnya membeli sebuah khemah sebagai persediaan untuk aktiviti luar sekiranya sekatan pergerakan ditarik semula.

472718038_18481522987000484_8537490001090023503_n

Muhammad Salehin (tiga dari kiri) dan isteri, Norhafizah (dua dari kiri) mengasaskan Kemrent Empire pada 2020. — Kemrent Empire

"Mula-mula ingatkan beberapa minggu sahaja, tapi kemudian 'makan' bulan pula PKP dilaksanakan.

"Semasa itu, kami sudah membeli kelengkapan berkhemah dan isteri membeli beberapa biji khemah.

"Apabila ditanya sebab membeli jumlah khemah yang banyak, isteri cakap untuk cuba-cuba sahaja," kongsi Muhammad Salehin juga lebih dikenali sebagai Bang Leh.

Menurutnya, disebabkan asyik membeli khemah, kediamannya di Kelana Jaya, Selangor mula dipenuhi barangan kelengkapan perkhemahan.

Ketika itu, beliau dan isteri mempunyai empat khemah termasuk khemah pertama yang mampu memuatkan enam orang.

"Jadi barang terlalu banyak di rumah dan lama-kelamaan sukar untuk simpan.

"Justeru, isteri menyarankan perkhidmatan sewa khemah," katanya yang bekerja sebagai penternak di ladang milik keluarga mentua di Rembau, Negeri Sembilan sebelum ini.

444137768_331798966611808_4045228071126202929_n (1)

Antara jenis khemah dan kelengkapan perkhemahan yang disediakan Kemrent Empire. — Kemrent Empire

Muhammad Salehin yang turut pernah berkhidmat bersama askar simpanan Wataniah berkata, pada awalnya, mereka menawarkan perkhidmatan sewaan kepada kenalan.

Bagaimanapun, selepas mula mengiklankan perkhidmatan berkenaan di media sosial, ia mula mendapat permintaan yang tinggi lebih-lebih lagi ketika PKP masih berkuatkuasa.

Situasi tersebut turut mendorong mereka membuka satu tempat penyimpanan yang kemudiannya berkembang menjadi kedai di Kelana Square, Petaling Jaya.

"Ketika itu orang ramai tak boleh ke luar negara. Jadi mereka mula berkhemah dan buat aktiviti luar di tapak perkhemahan di dalam negara.

"Permintaan memang tinggi," ujarnya lanjut.

Kemrent Empire kini dibantu lima staf dengan empat daripadanya merupakan pekerja sambilan yang bertanggungjawab menyelenggara barangan disewa.

Ketika ini, Muhammad Salehin, mempunyai kira-kira 100 khemah pelbagai jenis termasuk daripada jenama terkemuka seperti KZM, DOD dan Deer Creek.

Mengulas mengenai trend permintaan terhadap perkhidmatan tersebut, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, tempahan lazimnya meningkat ketika musim cuti sekolah.

"Pada musim puncak, pendapatan seminggu boleh cecah RM4,000. Kalau minggu biasa mungkin dalam separuh daripada jumlah tersebut.

"Untuk jumlah khemah disewakan pula, secara purata paling kurang 20 khemah akan disewa setiap bulan," kongsinya yang turut memiliki perancangan untuk menjadikan Kemrent Empire pusat sehenti perkemahan di Lembah Klang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram