
INDUSTRI perkayuan di seluruh dunia termasuk di Malaysia sedang menghadapi kemerosotan yang ketara akibat beberapa faktor utama seperti pengurangan sumber kayu, tekanan alam sekitar, peraturan ketat dan perubahan permintaan pasaran.
Walaupun sektor ini pernah menjadi tulang belakang ekonomi di banyak negara, trend semasa menunjukkan ia kini berada dalam fasa penyesuaian mencabar.
Disebabkan itu, tidak hairan apabila terdapat sesetengah pihak menyifatkannya sektor berdepan kesukaran untuk kekal relevan.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Bagaimanapun, di sebalik cabaran dihadapi, seorang pemuda juga generasi kedua pemilik syarikat kayu di Simpang Ampat, Pulau Pinang melakukan inovasi apabila menampilkan produk meja moden menerusi perusahaannya dikenali sebagai Balak's simbolik pada kayu balak.
Dimulakan pada 2020, Balak's merupakan jenama perabot artisanal diasaskan Lucas Eng, 28, yang menghasilkan meja berkualiti premium direka dengan menekankan ciri fungsi dan kualiti.
Balak's memiliki pengkhususan dalam pembuatan dan penjualan perabot seperti meja berdiri ergonomik yang diperbuat daripada kayu keras.
Berbeza dengan produk meja kayu konvensional, Balak's yang turut dipacu pengalaman lebih tiga dekad dalam kerja pertukangan mentransformasikan kayu balak berkualiti daripada alam semula jadi kepada kemudahan ruang kerja.
Ia memiliki pengkhususan dalam pembuatan dan penjualan perabot seperti meja berdiri ergonomik yang diperbuat daripada kayu keras.
Menerusi produk meja ditampilkannya, Balak's menyediakan antara lain meja kerja berdiri dan boleh laras dengan ciri seperti pengecas tanpa wayar serta lampu LED.
Idea buat inovasi
Pengasas Balak's, Lucas Eng.
Menurut Lucas, idea mengeluarkan inovasi produk meja kerja itu berlaku secara spontan sewaktu pandemik Covid-19.
"Dalam tempoh sebulan hingga dua bulan PKP (perintah kawalan pergerakan) fasa awal saya tak tahu nak buat apa. Kemudian, apabila melayari Instragram, saya ternampak ada orang menjual meja boleh laras.
"Tapi masa itu, kebanyakan meja jenis tersebut tidak menggunakan kayu keras. Jadi saya terfikir, kenapa tak cuba buat meja berkenaan berasaskan kayu keras," katanya kepada Majoriti.
Graduan daripada Universiti Portsmouth, United Kingdom (UK) menambah, beliau seterusnya mengambil masa kira-kira sebulan menghasilkan produk pertama meja laras jenama Balak's.
Katanya, proses pembuatan menjadi mudah apabila kilang kayu milik keluarganya turut memiliki mesin untuk mengeluarkan bahagian atas meja atau tabletop.
Produk meja kerja Balak's turut menerapkan penggunaan teknologi terkini.
Pada awalnya, beliau menjual meja berkenaan menerusi platform laman web dan media sosial seperti Facebook dengan kaedah pembelian secara pratempahan.
Menurutnya, dalam tempoh empat bulan pertama, Balak's berjaya menjual kira-kira 10 set meja setiap bulan dengan anggaran pendapatan sekitar RM20,000.
Kini, jumlah tersebut meningkat kepada 50 set meja sebulan termasuk jualan di Singapura dengan jumlah pendapatan mencecah enam angka.
Pada waktu sama, Balak's juga sudah berkembang kepada 15 jenis produk termasuk dua jenis meja terlaris iaitu meja boleh laras automatik dan manual.
Antara produk mercunya ialah Balak's Meja Stova, Balak's Meja Soul dan Balak's Meja Soul Neo.
Legasi perniagaan keluarga
Sebagai satu-satunya anak lelaki dan bongsu daripada tiga beradik, Lucas merupakan individu diharapkan untuk meneruskan legasi perniagaan keluarganya yang bermula sekitar 1990-an.
Perusahaan dijalankan ayahnya itu memiliki kepakaran utama terhadap pengeluaran pintu kayu dan alat ganti bagi pintu.
Bagaimanapun, sebaik sahaja menamatkan pengajian di UK, Lucas belum yakin sama ada mahu mengambil tanggungjawab bagi meneruskan perniagaan terbabit.
Meja boleh laras automatik keluaran Balak's.
"Walaupun idea ada, tapi tak begitu kuat sebab waktu itu saya pun tak tahu macam mana nak jalankan.
"Tambahan pula, kata-kata orang industri ini adalah sunset industry (industri semakin terkubur)," ujarnya.
Ketika melanjutkan pengajian, beliau turut menjalankan perniagaan dalam talian menjual barangan fesyen jalanan seperti rantai dan kasut secara kecil-kecilan.
Menerusi bisnes itu beliau terdedah kepada aspek pemasaran, penjenamaan, penghantaran dan keseluruhan ekosistem perniagaan di platform internet.
"Justeru, saya guna kemahiran dimiliki untuk bantu perusahaan keluarga," katanya yang mengambil keputusan mengusahakan bisnes Balak's secara dalam talian.
Sementara itu, mengulas persaingan mengenai pasaran jualan meja kayu, Lucas menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu perlu diraikan.
"Bagi saya lebih banyak persaingan lebih bagus membantu industri ini terus maju.
"Jika tiada persaingan, susah untuk fahamkan pelanggan mengenai kualiti meja mana yang bagus," katanya yang turut mengakui antara cabaran utama adalah memastikan harga ditawarkan kompetitif dan berpatutan.
Balak's turut menyediakan boleh laras manual kepada pengguna.
Bergerak ke depan, Lucas menyasarkan untuk melakukan lebih banyak kolaboratif bersama artis dan pereka tempatan dalam mengeluarkan pelbagai produk berasaskan kayu.
Antara kerjasama pernah dijalinkan Balak's sebelum ini adalah bersama Cloakwork Studio, Tyde Goods dan Hyang.
Pada masa sama, Balak's juga akan membuka kedai fizikal di Lembah Klang pada suku kedua tahun ini.
"Ada pelanggan yang lebih cenderung untuk datang dan mencuba sendiri meja mengikut cita rasa peribadi.
Kami rancang buka kedai di Kuala Lumpur memandangkan 70 peratus hingga 80 peratus pelanggan kami berpangkalan di KL," ujarnya yang kini dibantu lapan pekerja. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram