Hanya tidur 30 minit sehari, zirafah guna bahagian tepi punggung jadi 'bantal'


  • Massa
  • Rabu, 19 Feb 2025

Zirafah mempunyai sendi yang fleksibel sehingga membolehkan mereka melipat leher dan badan. — Gambar hiasan

DUNIA haiwan tidak pernah gagal memukau kita dengan kebolehan dan keunikan mereka.

Menjadi antara haiwan yang memiliki ketinggian luar biasa, zirafah ternyata mempunyai gaya tidur pelik.

Spesis mamalia itu juga mempunyai waktu tidur paling singkat berbanding haiwan lain iaitu hanya beberapa jam sehari, malah boleh sesingkat 30 minit.

BACA LAGI: [VIDEO] Pentingnya simpan pemadam api mini, insiden 2 beradik nyaris rentung di China wajar jadi teladan

BACA LAGI: 'Suara seperti mahu lepaskan diri dari seseorang', pengasuh Zayn Rayyan cerita semula situasi ketika operasi pencarian

8aa169cd53041193

Posisi tidur itu adalah ketika zirafah berasa selamat. — Gambar hiasan

Sebagai haiwan yang sering menjadi mangsa, zirafah sentiasa berwaspada terhadap ancaman pemangsa.

Justeru, mereka jarang membaringkan badan sepenuhnya ketika tidur kerana masa yang diambil untuk bangun boleh meningkatkan risiko serangan.

Sebaliknya, zirafah lebih cenderung tidur dalam keadaan berdiri bagi membolehkan mereka bertindak pantas sekiranya berasa terancam.

Bagaimanapun, dalam persekitaran lebih selamat seperti di dalam sangkar, zirafah boleh tidur lebih lama ,iaitu sekitar enam jam sehari.

Menariknya, mereka tidak berbaring atau duduk seperti kebanyakan haiwan lain, tetapi melipat kaki di bawah badan dan melengkungkan leher ke belakang dan kepala diletakkan di tepi punggungnya.

Gaya unik itu juga dikenali sebagai 'yoga zirafah' kerana keanjalan luar biasa yang ditunjukkan ketika mereka tidur.

Posisi tersebut bukan sahaja membolehkan mereka bangun dengan pantas, malah dapat memastikan mereka terus memerhati keadaan sekeliling.

Menurut kajian, keupayaan zirafah menyesuaikan diri dengan tabiat tidur unik itu bergantung kepada struktur dalaman leher mereka.

Meskipun mempunyai tujuh vertebra seperti manusia, setiap satunya dipisahkan oleh ruang yang lebih besar dan disokong oleh sendi yang sangat fleksibel sekali gus membolehkan mereka mengekalkan keseimbangan dan keselesaan ketika tidur.

Keunikan zirafah secara tidak langsung membuktikan keajaiban alam semula jadi di muka bumi ini. — The Star/Kristene S. Marie

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram