
JURURAWAT Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia (UPM) maut selepas terlibat dalam satu kemalangan di Lebuhraya SILK, Kajang, Selangor kira-kira pukul 1 petang Selasa.
Mangsa, Nurrul Ilham Noordin, 29, ketika itu menaiki motosikal sebelum merempuh sebuah lori yang berhenti di bahu jalan di kawasan tersebut.
Kejadian tragis itu tular di media sosial selepas rakaman detik ngeri kemalangan terbabit dimuat naik di media sosial.
Rakaman memperlihatkan mangsa yang pada awalnya menunggang motosikal di laluan sebelah kiri jalan tidak sempat mengelak dan terlanggar belakang lori.
Impak pelanggaran itu, mangsa dan motosikalnya tercampak ke tengah jalan.
Menerusi rakaman sama, turut dilihat, pemandu lori berkenaan seakan-akan sama sekali tidak meletakkan sebarang tanda amaran sebelum berhenti di kawasan yang merupakan selekoh berisiko tinggi atau ‘blind spot’.
Seorang pengguna media sosial, Taufanjawi meluahkan rasa kecewa terhadap pemandu lori tersebut.
“Dah lah dekat selekoh blind spot, lepas tu lori berhenti tak letak tanda kon ke apa,” katanya.
Turut bersimpati, seorang lagi pengguna, Eika DinZa yang mendoakan agar keluarga mangsa diberi ketabahan dan menuntut keadilan buat arwah.
“Allahuakbar.. semoga mendapat pembelaan. Salam takziah buat keluarga mangsa. Sedih la macam ni, kenapa tak ada letak kon atau tanda segi tiga belakang lori tu,” luahnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Shan Gopal berkata, motosikal ditunggang mangsa dari arah Cheras Jaya menghala ke tempat kerjanya.
"Apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai terlanggar belakang lori 3 tan yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami masalah teknikal.
"Akibat perlanggaran tersebut, mangsa kemudian tercampak ke sebelah kanan jalan dan digilis sebuah kereta jenis Perodua Bezza sebelum dilanggar sebuah lagi kenderaan jenis Perodua Alza," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Shan Gopal berkata, siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Sepang atau menghubungi Inspektor Mohamad Fadzil Zainol Abidin di 019-648474. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram