
POLIS menyiasat dakwaan wujud anggotanya yang membuat serbuan tanpa mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan dipercayai melakukan kegiatan peras ugut.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar berkata, kes itu disiasat selepas rakaman video tular berhubung kejadian dimuat naik di media sosial pada Selasa.
Shahrulnizam berkata, semakan mendapati rakaman video itu memaparkan serbuan yang dilakukan oleh empat anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
"Pihak polis mengesahkan serbuan dilakukan oleh BSJN IPD Petaling Jaya di Pelangi Damansara, Petaling Jaya pada 10 Oktober 2024 ketika Op Tapis di kawasan Damansara.
"Siasatan dibuka bagi menyiasat dakwaan yang ditularkan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya wujud salah laku dalam kejadian ini," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Dalam hantaran En Abdul, dia mendakwa empat anggota polis terbabit menyerbu kediamannya tanpa waran selain memecahkan kamera litar tertutup (CCTV) serta mengambil kad memori CCTV terbabit.
Pengadu mendakwa diperas oleh anggota polis terbabit untuk membayar RM12,000. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram