
PENGAMBILAN dadah jenis perangsang merupakan punca tiga daripada empat individu maut selepas menghadiri Konsert Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway, Petaling Jaya, Selangor pada malam ambang tahun baharu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, punca kematian seorang lagi mangsa masih belum dapat disahkan kerana pihak hospital masih menunggu laporan lanjut.
“Punca kematian tiga mangsa telah disahkan sementara laporan mengenai seorang lagi mangsa masih dalam tindakan pihak hospital,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Hussein berkata, setakat ini, seramai 53 saksi telah dirakam percakapan berhubung kes tersebut.
Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu akan dirujuk ke pihak koroner selepas selesai.
“Mangsa yang masih berada di hospital kini dalam keadaan stabil, namun memerlukan pemantauan rapi,” katanya.
Sebelum ini, pemeriksaan ke atas kesemua mangsa tidak mendapati sebarang kecederaan luaran.
Kes itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR), namun pihak polis meneruskan siasatan untuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau keracunan yang menyebabkan kematian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram