[VIDEO] Teknik pusaran air naikkan jasad 2 pelajar lemas cuba ambil bola terjatuh di Sungai Perak


  • 112
  • Selasa, 18 Feb 2025

Mayat pertama bagi kes dua remaja dihanyutkan arus Sungai Perak, Kampung Tepus, sejak Isnin akhirnya ditemukan kira-kira pukul 4.45 petang Selasa. 

MAYAT pertama bagi kes dua remaja dihanyutkan arus Sungai Perak, Kampung Tepus, Parit, Perak pada Isnin akhirnya ditemukan kira-kira pukul 4.45 petang Selasa. 

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Hafezul Helmi Hamzah berkata, mayat Muhammad Nazin Haidar Mohd Hisham, 16, ditemukan setelah pasukan penyelamat menggunakan teknik pusaran air. 

"Melalui kaedah berkenaan mayat seorang daripada mangsa timbul di lokasi kejadian. Mayat dibawa ke tebing dan dicam oleh ahli keluarga.

"Mayat kemudian dibawa ke Hospital Seri Iskandar untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

BACA LAGI: [VIDEO] Naluri ibu tak pernah salah, terkenang saat sempat patah balik 'sambar' anak elak dihempap bumbung ranap di Kemboja

BACA LAGI: [VIDEO] Hidupkan mesin tak toleh kiri kanan, kecuaian rakan sekerja punca operator kilang maut tersepit mesin hidraulik di China 8 tahun lepas

Dalam perkembangan sama, mayat seorang lagi pelajar sekolah yang dikhuatiri lemas, Muhammad Naufal Aiman Dzulkarnain, 16, dijumpai pasukan penyelamat pada 7 petang, Selasa.

Remaja terbabit ditemukan tidak jauh dari jasad Muhammad Nazrin, menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sayani Saidon.

Katanya, anjing Unit Pengesan (K9) JBPM mengenal pasti titik lokasi mangsa sebelum Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) membuat selaman.

"Usaha kemudiannya diteruskan dengan membuat olakan air menggunakan bot menyebabkan mangsa timbul dan berjaya ditemui," katanya memetik The Star.

Pada Isnin, kedua-dua pelajar Tingkatan 4 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Muhammad Shah, Parit dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam Sungai Perak di Kampung Tepus sekitar pukul 4 petang.

Difahamkan, ketika itu, dua remaja itu bersama dua lagi rakan dikatakan bermain bola di beting pasir berhampiran sungai berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima laporan kehilangan kedua-dua remaja itu kira-kira pukul 4.21 petang sebelum operasi mencari dan menyelamat digerakkan sehingga Selasa.

Susulan itu, usaha pencarian disambung pagi Selasa dengan menggunakan pasukan penyelamat daripada polis, Bomba dan Penyelamat dan komuniti nelayan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram