
GADIS berusia 18 tahun ditemukan mati dalam keadaan tragis selepas dilaporkan hilang ketika keluar untuk menjalankan urusan jual beli secara tunai (COD).
Mayat mangsa, Putri Regita Amanda ditemukan di Terusan Turi Tunggorono, Dusun Peluk, Desa Pacarpeluk, Megaluh, Jombang, Jawa Timur, Indonesia pada Selasa lepas sekitar pukul 6 pagi (waktu tempatan).
Siasatan mendapati mangsa menjadi korban pemerkosaan dan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh kekasihnya serta dua lagi lelaki lain.
Suspek yang terlibat ialah teman lelaki mangsa dari Kampung Sembung, Perak, Jombang, Adiansyah Putra, 18; pelajar sekolah menengah dari Kampung Klepek, Kunjang, Kediri, Jawa Timur, Achmad Toriq, 18; dan seorang lelaki warga Daerah Kunjang, Kediri, Lutfi Inahu,32.
Ketiga-tiga mereka telah ditahan oleh pihak polis pada Rabu lepas.
Mengulas lanjut, Ketua Unit Siasatan Jenayah Polis Jombang, Asisten Komisioner Polis Margono Suhendra berkata, mangsa telah dipaksa minum minuman keras di rumah salah seorang suspek dikenali sebagai Toriq.
Selepas itu, mangsa dibawa ke kawasan sawah di Dusun Godong, Gudo, Jombang iaitu tempat dia dirogol secara bergilir-gilir oleh ketiga-tiga suspek.
Mangsa cuba melawan, tetapi dipukul dengan kejam sehingga mengalami pendarahan dalaman serta kecederaan akibat hentakan objek tumpul di dahinya.
Setelah melakukan jenayah itu, Adiansyah Putra mencuri motosikal Honda Vario serta telefon bimbit milik Putri.
Bersama dua rakannya, mereka kemudian membuang tubuh Putri yang masih hidup ke dalam sungai di Kampung Tugu, Purwoasri, Kediri, dengan niat untuk menghapuskan bukti jenayah mereka.
Kehilangan Putri mula disedari bapanya, Misman, 59, selepas mendapati anaknya tidak pulang ke rumah pada malam kejadian.
Mangsa sebelum itu keluar sekitar pukul 3 petang (waktu tempatan) untuk bertemu seseorang bagi urusan COD.
Apabila gagal dihubungi, Misman berulang kali mencuba menghubunginya, namun telefon bimbitnya tidak lagi aktif.
Telefon bimbit Putri hanya kembali aktif sekitar pukul 12.30 pagi hingga 1 pagi (waktu tempatan) pada Selasa tetapi panggilannya tidak pernah dijawab.
Kemudian, keluarga mangsa menerima berita mengejutkan melalui media sosial mengenai penemuan mayat seorang gadis dengan pakaian baju sejuk kuning dan seluar hitam.
Mereka segera ke Hospital Daerah Jombang dan mengesahkan bahawa mayat tersebut adalah Putri.
Hasil bedah siasat menunjukkan mangsa mengalami kecederaan akibat hentakan objek tumpul di dahi dan perutnya sebelum dicampak ke dalam sungai dalam keadaan tidak berdaya.
Untuk rekod, Putri merupakan anak bongsu daripada dua beradik dan tinggal bersama bapanya selepas ibunya, Wiwit Idayati meninggal dunia setahun lepas. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram