[VIDEO] Pemandu Honda kuning buat onar di Kluang ada rekod jenayah, 'Along Kubur' direman 7 hari


Tangkap layar sebuah kenderaan yang dipandu Along Kubur (gambar kecil) dalam keadaan berbahaya berjaya ditahan oleh pihak polis di Kluang pada Jumaat.

PEMANDU Honda Accord kuning yang tular selepas dikejar polis sejauh lima kilometer di Kluang, Johor pada Jumaat direman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat, pada Sabtu.

Memetik laporan Sinar Harian, perintah reman terhadap suspek berusia 40 tahun yang dikenali dengan panggilan 'Along Kubur' itu dikeluarkan oleh Majistret Nurasidah A Rahman pada Sabtu sehingga Jumaat depan.

Dalam kejadian sekitar pukul 9 pagi Jumaat, Unit Peronda MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengesan kenderaan yang dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan di Persimpangan Jalan Haji Manan.

BACA LAGI: [VIDEO] Dah macam GTA, sampai 3 kereta peronda 'block' Honda kuning lari dari polis di lampu isyarat di Kluang

BACA LAGI: 'Sudah-sudahlah (rakam muka)', Man Tiger tembak suami isteri di Simpang Renggam kena reman 7 hari

Ketika cuba diperiksa, suspek bertindak melarikan diri, menyebabkan polis terpaksa mengejarnya sebelum dia akhirnya berjaya ditahan di hadapan lampu isyarat Kluang Mall.

Hasil pemeriksaan mendapati suspek mempunyai 15 rekod jenayah lampau, termasuk kesalahan berkaitan dadah.

Polis turut menemui sejumlah dadah dipercayai heroin, sementara ujian saringan air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

Suspek berdepan enam pertuduhan di bawah beberapa seksyen undang-undang melibatkan Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952; Seksyen 44(2) dan Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram