[VIDEO] 'Masih terngiang jeritan isteri panggil nama anak', litar pintas dipercayai punca 5 beranak rentung di Melaka


  • 112
  • Jumaat, 14 Feb 2025

Muhammad Khairuddin Sa’ari (kanan) tidak dapat menahan sebak mengenangkan pemergian tragis isteri serta anak-anaknya (kiri) yang maut dalam kebakaran di Melaka pada Khamis.

LITAR pintas dipercayai menjadi punca kebakaran yang mengakibatkan lima beranak termasuk wanita hamil rentung di Kampung Berangan Enam, Umbai dekat Jasin, Melaka pada Khamis.

Menurut Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Mohd Pisar Aziz, pihaknya tidak menolak sistem pendawaian lama menjadi punca berlakunya litar pintas sehingga menyebabkan kebakaran yang turut memusnahkan rumah separa batu dan kayu itu.

"Di peringkat awal ini kita tidak menolak andaian kemungkinan berlaku litar pintas yang menjadi punca kebakaran.

BACA LAGI: [VIDEO] Tragedi menjelang Nisfu Syaaban, 5 beranak rentung rumah musnah dijilat api di Umbai

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek, mangsa kes tetak di Johor Bahru saling tak mengenali, gaduh mulut jadi punca amukan

"Ini kemungkinan kerana kebanyakan rumah di kawasan luar bandar menggunakan sistem pendawaian lama yang tidak dinaik taraf sejak puluhan tahun lalu," katanya pada Jumaat.

Jelas beliau lagi, bahan sampel dalam kebakaran seperti kayu, kain, kabel pendawaian dan cebisan lantai yang musnah juga diambil untuk siasatan lanjut.

"Kesemua hasil sampel itu dipilih oleh khidmat anjing pengesan (K9) JBPM di lokasi kejadian sebelum dihantar Makmal Forensik Penyiasatan Kebakaran JBPM di Seremban, Negeri Sembilan untuk dianalisis," katanya.

Keputusan analisis akan dijangka akan diperoleh dalam tempoh dua minggu ini.

Dalam pada itu, bapa kepada empat anak yang rentung dalam nahas kebakaran itu, Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, tidak dapat menahan sebak mengenangkan pemergian tragis isteri serta anak-anaknya

ezgif.com-webp-to-jpg-converter (18)

Laila Fathinah Mustapa dan empat anaknya terkorban dalam tragedi kebakaran di Kampung Berangan Enam, Umbai dekat Jasin pada Khamis.

Dia yang kini sedang menerima rawatan di Hospital Jasin berkata, masih jelas terngiang-ngiang di telinganya suara jeritan isteri memanggil nama empat anaknya untuk cuba keluar daripada api yang sedang marak.

"Saya masih terdengar-dengar suara isteri panggil nama anak-anak, saya minta maaf mak," raungannya kepada ibu mentuanya, Ruziha Osman, 60, di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Jasin.

Muhammad Khairuddin terselamat selepas berjaya dibantu keluar dari rumah oleh penduduk setempat.

Namun isteri, Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah, 13, Izz Daffa Hafizuddin, 7, Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4, terkorban dalam tragedi tersebut.

Mayat wanita berusia 37 tahun itu ditemui di bahagian serambi rumah, manakala empat anaknya ditemui di beberapa lokasi berhampiran jeriji pintu rumah berkenaan.— The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram