[VIDEO] ‘Dia hentam aku dulu’, polis buru 2 lelaki Toyota Vellfire bergaduh di Tambak Johor


  • 112
  • Sabtu, 15 Feb 2025

Tangkap layar video memaparkan dua lelaki bergaduh di Tambak Johor pada Jumaat.

POLIS sedang mengenal pasti dua lelaki yang dipercayai bergaduh di tengah jalan dekat Tambak Johor, Johor pada Jumaat.

Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, pihaknya mengesan satu video tular memaparkan insiden itu yang dikongsikan oleh pengguna Facebook, Fandyjunas.

"Polis sudah mula menjalankan siasatan terhadap kes berkenaan dan mengenal pasti dua lelaki yang terlibat.

BACA LAGI: [VIDEO] Suspek, mangsa kes tetak di Johor Bahru saling tak mengenali, gaduh mulut jadi punca amukan

BACA LAGI: [VIDEO] Leka jawab panggilan telefon ketika bertugas, pekerja kilang di Pakistan maut 'ditelan' mesin kertas

"Kita sedang giat menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti individu yang terbabit, saksi kejadian dan punca sebenar insiden berkenaan.

"Sehubungan itu, saksi atau mereka yang berada di tempat kejadian diminta tampil untuk menyalurkan maklumat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Terdahulu, tular satu video memaparkan dua orang lelaki bertumbuk di Tambak Johor sehingga menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Video yang dirakam seorang pemandu lori itu memaparkan kedua-dua individu menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna hitam dipercayai Toyota Vellfire yang mana kelihatan seorang lelaki keluar dari kenderaan itu dalam keadaan marah.

Kemudian penumpang MPV satu lagi turut turun dari kenderaannya yang diberhentikan di kiri jalan sebelum pergaduhan mulut berlaku antara mereka.

Mereka kemudian dipercayai bertumbuk dan kedengaran pemandu MPV mendakwa penumpang kenderaan satu lagi itu memulakan pergaduhan terlebih dahulu dengan berkata 'dia hentam aku dulu'.

Pergaduhan itu kemudian berjaya dileraikan beberapa pengguna jalan raya yang lain.

Raub berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi talian hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan 07-2182323 atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Ng Boon Jian di talian 016-7500470. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram