[VIDEO] Remaja lelaki 15 tahun langgar lari warga emas di Masjid Zahir tiada lesen memandu — Polis Alor Setar


  • 112
  • Sabtu, 15 Feb 2025

Tangkap layar video memaparkan sekumpulan individu memberikan bantuan awal kepada seorang warga emas selepas dilanggar sebuah motosikal di hadapan Masjid Zahir pada Khamis.

TINDAKAN seorang penunggang motosikal melanggar lari seorang wanita warga emas ketika berjalan kaki di hadapan Masjid Zahir dekat Alor Setar, Kedah pada Khamis mengundang marah dalam kalangan warga maya.

Masakan tidak, kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal itu terus meninggalkan tempat kejadian sejurus kejadian itu berlaku.

Insiden itu juga berjaya dirakam kamera papan pemuka (dashcam) orang awam yang berada di tempat kejadian.

BACA LAGI: [VIDEO] Leka jawab panggilan telefon ketika bertugas, pekerja kilang di Pakistan maut 'ditelan' mesin kertas

BACA LAGI: [VIDEO] Berang isteri tak dibenarkan cuti, suami 'ambush' pengurus pasar raya dengan penyodok di Brazil

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu seperti yang ditularkan di media sosial.

Katanya, video kejadian yang tular dipercayai dirakam oleh pengguna jalan raya menerusi kamera hadapan kenderaan yang menunjukkan sebuah motosikal dinaiki dua individu melanggar seorang pejalan kaki di kawasan lintasan pejalan kaki di hadapan Masjid Zahir.

"Bagaimanapun, penunggang dan pembonceng motosikal itu terus beredar sejurus kejadian, dipercayai melarikan diri.

“Berikutan itu, wanita warga emas berusia 65 tahun tersebut membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Kota Setar pukul 12.06 tengah hari Jumaat.

“Menurut pengadu, kejadian berlaku pada Khamis, kira-kira pukul 9.40 malam sewaktu dia sedang melintas jalan di lintasan pejalan kaki hadapan Masjid Zahir.

“Beberapa kenderaan lain dikatakan berhenti untuk memberi laluan kepadanya, namun secara tiba-tiba, sebuah motosikal datang dan terus melanggarnya, menyebabkan dia terjatuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Siti Nor Salawati lagi, sejurus selepas perlanggaran itu, penunggang serta pembonceng motosikal berkenaan terus beredar meninggalkan mangsa.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di beberapa anggota badan menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar sejurus selepas kejadian.

“Pada kira-kira pukul 7 petang Jumaat, penunggang motosikal, iaitu seorang remaja lelaki berusia 15 tahun, tampil ke Balai Polis Trafik Kota Setar untuk membuat laporan berkenaan kejadian itu.

"Remaja lelaki itu tidak mempunyai lesen memandu, dan motosikalnya turut disita. Hasil pemeriksaan juga mendapati terdapat modifikasi pada motosikal berkenaan.

"Polis akan mengambil tindakan terhadap pemilik motosikal kerana membenarkan remaja itu menunggang tanpa lesen," katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram