
SEORANG bapa dan anak perempuannya maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan lori di Jalan Gedong, Simunjan, Kuching, Sarawak pada Jumaat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pukul 1.26 petang.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan diarahkan ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan itu.
BACA LAGI: Penyampai Suria FM bantu bomba pujuk lelaki stres atas bumbung bangunan Menara LPP
JBPM memaklumkan, pemandu masih berada di dalam kereta Proton Wira, manakala tiga lagi mangsa tercampak keluar dari kereta di lokasi kejadian.
"Pemeriksaan mendapati seorang lelaki iaitu pemandu kereta terbabit, Sim Geok Chiew, 37 dan anak perempuannya Alisia Sim, 11, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Dua lagi iaitu isteri mangsa iaitu Freda Gulong, 36 dan seorang lagi anak mereka, Alysa Sim, 6, parah dan dikejarkan ke Hospital Simunjan untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, pemandu lori terbabit bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram