[VIDEO] Penganggur mabuk rempuh bank di Tawau terima padah, kena penjara 9 bulan, denda RM11,300


Tertuduh, Mohd Shafiezan Hassan (tengah) dijatuhi hukuman di Mahkamah Majistret Tawau atas tiga kesalahan berkaitan kemalangan pada Disember 2024.

SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM11,300 oleh Mahkamah Majistret Tawau, Sabah atas tiga kesalahan berkaitan kemalangan pada Disember 2024.

Majistret Don Stiwin Malanjum menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Shafiezan Hassan, 26, pada Khamis selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan yang dibacakan serentak oleh jurubahasa mahkamah.

Mahkamah turut membatalkan kelayakannya untuk mendapatkan lesen memandu selama dua tahun, berkuat kuasa dari tarikh sabitan.

BACA LAGI: [VIDEO] Padah tak pantau ketika bermain, ibu cemas lihat anak hampir 'biru' terjerut tali

BACA LAGI: [VIDEO] Latihan akrobatik makan diri, penjual karpet di India meninggal dunia hampir seminggu dirawat di hospital

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Shafiezan didapati memandu dalam keadaan mabuk melebihi had yang dibenarkan.

Dia juga tidak mempunyai lesen memandu dan polisi insurans sah yang membawa kepada insiden kemalangan di bilik Terminal Layan Diri (SST) RHB Bank dan lima buah kenderaan di kawasan parkir tersebut.

Kejadian berlaku di Jalan Mahkamah Tawau sekitar pukul 4.15 pagi pada 29 Disember 2024.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan mabuk, Seksyen 26(1) kerana memandu tanpa lesen dan Seksyen 90(1) kerana mengendalikan kenderaan tanpa insurans.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Asisten Superintendan Joan Lee menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pencegahan kepada tertuduh dan orang ramai.

Sehari sebelumnya, Majistret Don Stiwin telah mengeluarkan waran tangkap selepas Mohd Shafiezan gagal hadir ke mahkamah.

Dia kemudiannya ditahan di rumahnya oleh sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik kira-kira pukul 2.30 petang. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram