
SEORANG imam masjid dan tiga pelajarnya antara lima maut dalam tragedi nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 6, Jalan Bahau-Rompin, dekat Jempol, Negeri Sembilan pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, kemalangan membabitkan dua kereta dan sebuah trak pikap itu berlaku kira-kira pukul 9 malam.
Tragedi itu mengorbankan seorang guru agama di masjid FGV Palong 18, Gemas, Negeri Sembilan iaitu Mohd Najmuddin Shapie, 31, dan tiga pelajarnya, Haziq Hakimi Mahindra, 19, Muhammad Adi Putra, 16, serta Muhammad Danish Iskandar Muhammad Faidzul, 18.
Seorang lagi pemandu iaitu Lim Kwang Poh, 51, turut terkorban dalam kejadian tersebut.
Hasil siasatan awal mendapati Lim yang bekerja sendiri dan berasal dari Melaka, hilang kawalan dan merempuh kereta Mohd Najmuddin yang datang dari arah bertentangan.
Mohd Najmuddin dan pelajarnya difahamkan dalam perjalanan menuju ke Bahau.
“Sebuah lori pikap yang mengekori kereta Mohd Najmuddin tidak dapat berhenti dan merempuhnya,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Beliau dalam masa sama menggesa saksi menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Muhammad Fasha Haiqal Mohd Faisal di talian 06 362 7746 bagi membantu siasatan. — The Star/SARBAN SINGH
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram