Skuad khas kambus 6 'jerangkap samar' sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang


  • Massa
  • Rabu, 12 Feb 2025

Isu jalan berlubang merupakan antara masalah kerap berlaku sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang.

SATU pasukan petugas khas (task force) telah ditubuhkan bagi menangani isu jalan raya di sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang, Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, pasukan petugas itu ditubuhkan awal tahun ini sebagai respons kepada aduan orang ramai mengenai isu sepanjang lebuh raya tersebut.

BACA LAGI: Remaja dari Melaka sanggup datang PJ hadiri pameran PSM demi hobi kumpul setem

BACA LAGI: [VIDEO] CEO GISB, anak 'Abuya' antara tak mengaku ahli kumpulan jenayah terancang

“Kami menubuhkan Pasukan Petugas Aduan Sifar pada 1 Januari lalu bagi menangani aduan pengguna khususnya isu jalan berlubang di lebuh raya berkenaan.

“Jalan berlubang adalah aduan yang paling kerap terutama pada musim hujan dan ini adalah masalah besar yang menjejaskan ramai pengguna jalan raya.

"Kami juga akan membawa perkara itu ke pihak Menteri Kerja Raya," katanya.

Tambahnya, antara punca utama jalan berlubang ialah lebuh raya itu kerap digunakan oleh kenderaan berat termasuk yang terlibat dalam projek menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang yang kini sedang giat dijalankan.

pantau

Mohamad Fazli menjelaskan pasukan itu ditubuhkan bagi menangani isu laluan berlubang di sepanjang Lebuhraya Pasir Gudang.

“Sejak penubuhan pasukan petugas tersebut, jumlah aduan diterima semakin berkurangan namun kami masih berusaha untuk mencapai sasaran sifar aduan.

“Selain itu, kita juga mempunyai pegawai Jabatan Kerja Raya (JKR) yang ditugaskan memantau kawasan itu hampir setiap hari,” katanya.

Tambahnya, selain jalan berlubang dan isu jalan raya, pasukan petugas itu juga berperanan meneliti masalah lampu jalan dan sistem perparitan di kawasan berkenaan.

“Pasukan petugas akan terus memantau kawasan itu dengan teliti dan mengambil tindakan untuk menyelesaikan aduan,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fazli turut mendedahkan bahawa isu kesesakan di Tambak dan Link Kedua telah berkurangan sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

“Walaupun cuti hujung minggu bertukar ke Sabtu dan Ahad, aduan mengenai kesesakan semakin berkurang.

“Terdapat satu atau dua aduan diterima baru-baru ini semasa musim hujan tetapi ia tidak sekerap sebelum ini.

“Bagaimanapun, saya akan terus memantau keadaan itu dengan teliti termasuk memeriksa segala aduan di laman sosial berkaitan isu di sempadan negara kita,” katanya. — The Star/VENESA DEVI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram