
JABATAN Perhilitan Selangor pada Selasa menahan dua lelaki yang didakwa melepaskan tiga ekor ular sawa dalam longkang di Jalan Persiaran Putra Permai, Putra Heights, Subang Jaya, Selangor awal Februari lepas.
Hasil siasatan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen pemilikan yang sah bagi ular sawa tersebut.
Jabatan Perhilitan Selangor menjelaskan, pihaknya menerima aduan daripada polis susulan laporan dibuat orang awam mengenai tindakan dua lelaki dan seorang wanita yang didakwa melepaskan tiga ekor ular di kawasan perumahan berkenaan.
BACA LAGI: [VIDEO] Warga emas 'ditelan' bumi, penutup lubang saliran kedai tiba-tiba pecah di Seremban
“Bertindak atas aduan, Jabatan Perhilitan Selangor menjalankan pemeriksaan ke atas kediaman individu yang disyaki terbabit pelepasan ular.
“Seekor ular sawa batik yang masih hidup turut ditemui hasil pemeriksaan di kediaman suspek dengan bantuan anggota dari Balai Polis Putra Heights,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Kedua-dua suspek ditahan kerana kesalahan pemilikan hidupan liar tanpa lesen sah mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
“Mereka bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan diteruskan,” katanya.
Jabatan Perhilitan turut menasihati orang ramai untuk berhati-hati sekiranya terserempak dengan hidupan liar dan tidak mengambil tindakan sendiri.
Sebarang aduan serta maklumat berkaitan hidupan liar boleh disalurkan kepada Jabatan Perhilitan melalui Talian Hotline 1-800-88-5151 atau e-aduan di www.wildlife.gov.my. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram