
SATU kemalangan berlaku melibatkan seorang penunggang motosikal dan sebuah kereta di Terowong Udini, Pulau Pinang sekitar pukul 7.30 pagi Rabu.
Menerusi video tular di media sosial, kemalangan berlaku apabila penunggang terbabit melalui laluan khusus buat kenderaan selain motosikal.
Ketika kejadian, mangsa dilihat menunggang motosikalnya dalam keadaan laju di selekoh tajam sebelum memasuki laluan bertentangan secara tiba-tiba.
BACA LAGI: Demi kesejahteraan mental, wanita perlu berani keluar zon penderaan elak risiko kemurungan
Tindakan itu sekali gus menyebabkan sebuah kereta di laluan bertentangan tidak sempat mengelak dan bertembung dengan motosikal berkenaan.
Impak daripada rempuhan itu, mangsa terpelanting dan terseret di bahu jalan, manakala pemandu kereta terbabas dan melanggar dinding terowong.
Selepas 18 jam bertarung nyawa, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, penunggang motosikal terbabit disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) pukul 1.10 pagi Khamis.
"Sebuah motosikal yang dinaiki oleh mangsa berusia 21 tahun telah berlanggar dengan sebuah kereta dari arah bertentangan.
"Kereta itu dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 46 tahun dan membawa seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Rozak berkata, siasatan awal mendapati motosikal terbabit dipercayai telah hilang kawalan lalu memasuki laluan kereta yang datang dari arah bertentangan.
"Mangsa yang mengalami cedera parah telah dihantar ke HPP. Sementara pemandu kereta tidak mengalami kecederaan namun kanak-kanak terbabit mengalami kecederaan di bahagian tangan," jelasnya.
Abdul Rozak berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram