Slot rawatan sentiasa penuh, kena tunggu setiap kali rawatan buang bulu, salun kecantikan diarah pulangkan lebih RM4,000


  • Massa
  • Selasa, 11 Feb 2025

Nicole berkata, kakitangan salun sentiasa mendakwa bahawa tarikh yang dipilihnya untuk sesi rawatan sudah ditempah pelanggan lain.

SEBUAH salun kecantikan di Johor Bahru, Johor yang menawarkan pakej pembuangan bulu diarahkan untuk memulangkan wang berjumlah RM4,161.74 kepada seorang pelanggan yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan diterimanya.

Perunding hartanah, Nicole Tan, yang telah melanggan pakej 34 rawatan, memutuskan untuk menghentikan perkhidmatan pembuangan bulu badan selepas hanya menghadiri empat sesi.

Menurut Nicole, kegagalan salun terbabit untuk menunaikan janji yang diberikan menjadi salah satu faktor utama keputusannya itu.

Nicole turut meluahkan rasa tidak puas hati kerana terpaksa menunggu untuk mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh salun yang menyasarkan wanita mencari rawatan laser bagi pembuangan bulu itu.

BACA LAGI: [VIDEO] Lori tak sempat brek rempuh belakang Alza, rosakkan palang RFID di Ayer Keroh

BACA LAGI: [VIDEO] Suami maut, isteri parah motor dirempuh lori ketika keluar simpang di Batu Pahat

"Perunding kecantikan telah meyakinkan saya bahawa keutamaan akan diberikan kepada pelanggan yang mendaftar untuk sesi rawatan," katanya ketika ditemui di luar Tribunal Tuntutan Pengguna Johor di Menara Ansar, Johor Bahru.

Nicole yang berusia 34 tahun dari Taman Bukit Indah, telah membayar sebanyak RM5,000 untuk membuang bulu pada lengan dan kakinya.

Pembayaran dibuat kepada salun di Taman Sutera Utama, Johor Bahru pada 28 Disember 2023.

"Saya terpaksa menghubungi mereka terlebih dahulu sebelum mereka memberi saya slot rawatan yang tersedia," kata Nicole yang telah menjalani rawatan pertama pada 2 Januari 2024.

Sesi rawatan kedua, ketiga, dan keempat adalah pada 19 Januari, 7 Februari, dan 3 Mac 2024.

"Setiap sesi berlangsung selama kira-kira 30 minit," kata Nicole, sambil menambah bahawa tarikh dan masa untuk empat sesi berkenaan dipilih oleh salun.

Nicole berkata, setiap kali dirinya menghubungi salun berkenaan untuk membuat temujanji seterusnya, kakitangan sentiasa mendakwa bahawa tarikh yang dipilihnya sudah ditempah oleh pelanggan lain.

Nicole juga mengadu berkenaan dia terpaksa menunggu untuk sesinya dimulakan.

"Saya langsung tidak ada masalah dengan rawatannya.

"Tetapi kakitangan salun gagal untuk menepati janji kepada pelanggan yang melanggan pakej rawatan, kerana kami dijamin bahawa kami tidak perlu menunggu untuk mendapatkan rawatan," ujarnya.

Nicole kemudiannya memfailkan kesnya kepada tribunal dan meminta pulangan baki bagi jumlah yang dibayar untuk 30 sesi.

Presiden Tribunal, Lee Chee Thim, mengarahkan responden untuk memulangkan RM4,161.74 kepada pengadu dalam tempoh dua minggu, selepas menolak empat sesi rawatan yang dihadiri Nicole dan yuran pentadbiran sebanyak 5 peratus yang dikenakan oleh responden.

Bagi mereka yang memerlukan bantuan mengenai perkara tribunal, boleh menghubungi 07-2271755 atau 07-2271766. — The Star/ZAZALI MUSA

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram