
PADA tahun lalu, pelabuhan kargo Malaysia merekodkan pencapaian membanggakan selepas berjaya mencatat penanda aras baharu dalam operasinya.
Momentum itu dijangka berterusan pada tahun ini, dengan pengeluaran kargo diunjurkan berkembang sebanyak tiga peratus hingga lima peratus berbanding 2024.
Pada masa sama, pergerakan barangan di pelabuhan Malaysia juga berpotensi mencecah 817 juta tan dan memberikan hasil ekonomi RM690 bilion.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Selain Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), satu lagi pelabuhan yang sekian lama menjadi pemacu kepada operasi kargo negara ialah Westports yang berpangkalan di Pulau Indah, Selangor.
Westports bermula pada awal 1990-an apabila kerajaan Malaysia mengambil langkah membangunkan sektor pelabuhan sebagai enjin pertumbuhan ekonomi negara.
Syarikat ini dimiliki dan dikendalikan oleh Westports Holdings Berhad (Westports Holdings) diasaskan oleh Tan Sri G Gnanalingam.
Dalam perkembangan terbaharu, Westports Holdings pada sekitar Oktober tahun lalu melakukan upacara pecah tanah bagi Westports 2, kira-kira tujuh tahun selepas idea itu dicetuskan.
Majlis pecah tanah bagi pembinaan Westports 2 yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Westports 2 akan melibatkan pengembangan Terminal Kontena 10 (CT10) kepada Terminal Kontena 17 (CT17), sekali gus mewujudkan zon perdagangan bebas baharu seluas 223 hektar.
Projek itu bakal menelan kos hampir RM40 bilion, termasuk semua penggantian dan perbelanjaan modal penyelenggaraan (Capex).
Fasa satu Westports 2 menyaksikan pembangunan CT10-CT13 akan berlangsung antara 2024 dan 2038 dengan modal pembangunan awal RM6.3 bilion.
Fasa kedua untuk CT14-CT17 akan berlangsung dari 2036 hingga 2053, menelan belanja RM6.3 bilion.
Pada masa ini, hanya terdapat sembilan terminal kontena di Westports.
Perkembangan terbaru di pengendali pelabuhan tersenarai terbesar di Malaysia, berlaku ketika kerajaan negeri Selangor merancang untuk membina pelabuhan mega bernilai RM28 bilion di Pulau Carey.
Pelabuhan Pulau Carey dirancang untuk mempunyai kapasiti penghantaran kontena sebanyak 30 juta unit bersamaan 20 kaki (TEU) setahun.
Ia akan dijalankan dalam empat fasa dan dijangka siap menjelang 2060.
Pulau Carey tidak terancam
Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Westports, Datuk Ruben Emir Gnanalingam bagaimanapun tidak melihat pelabuhan Pulau Carey sebagai ancaman.
Dalam temu bual dengan StarBiz 7, Ruben berkata, Westports tidak mempunyai ruang lagi untuk kargo pukal atau bukan kontena seperti pukal kering dan pecah.
“Ruang kami untuk kargo cecair juga akan penuh dalam masa dua tahun.
“Malah, Pelabuhan Klang tidak mempunyai ruang untuk kargo pukal. Jadi, pelabuhan Pulau Carey akan memenuhi keperluan itu,” katanya.
Pelabuhan Klang terdiri daripada tiga pelabuhan iaitu, Westport, Northport dan Southpoint.
Northport (M) Bhd yang merupakan ahli Kumpulan MMC yang diterajui Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary memiliki Southpoint dan Northport.
Southpoint mengendalikan pengendalian kargo konvensional, manakala Northport menguruskan kontena dan kargo konvensional.
Ruben berkata, adalah rasional untuk pelabuhan Pulau Carey memberi tumpuan kepada kargo kontena sebaik projek Westports 2 selesai yang dijangka berlaku pada 2053.
Ruben berkata, Westports beri tumpuan terus meningkatkan kecekapan perkhidmatan dan harga lebih baik daripada pelabuhan lain di Malaysia.
“Ini hanya kerana satu sebab iaitu Pelabuhan Pulau Carey akan menjadi jauh lebih mahal daripada Westports 2 untuk dibina.
“Tiada apa yang istimewa mengenai tanah itu. Tiada pemecah ombak (breakwater), ia adalah laut terbuka dan tiada kelebihan geografi untuk daratan.
"Akibatnya, kos akan menjadi sangat tinggi," jelasnya.
Ruben, bagaimanapun, mengatakan bahawa pembangunan pelabuhan Pulau Carey tidak dapat dielakkan.
“Apabila (pengembangan) pelabuhan di Singapura, Tanjung Pelepas dan Westports selesai, Pulau Carey akan menjadi kawasan pertumbuhan masa depan yang akan datang,” ujarnya.
Mengenai Westports 2, Ruben berkata, pengembangan itu diperlukan untuk mendapatkan potensi pertumbuhan yang besar untuk kargo kontena di rantau tersebut.
Dalam 30 tahun lalu, permintaan untuk kargo kontena melonjak daripada 13 juta TEU kepada kira-kira 60 juta TEU pada masa ini.
“Kami percaya trajektori akan terus berkembang dalam tempoh 30 tahun akan datang, berpotensi meningkat dua kali ganda daripada paras hari ini.
“Pertumbuhan sebegitu mungkin kerana Asia Tenggara adalah salah satu wilayah yang paling pesat berkembang di dunia dan banyak industri bergerak ke rantau ini.
“Kemakmuran penduduk rantau ini juga bertambah baik dan penggunaan rakyat akan terus meningkat, meningkatkan permintaan untuk perdagangan yang memberi manfaat kepada pelabuhan,” kata Ruben.
Selain daripada permintaan yang semakin meningkat, Ruben berkata, Westports memberi tumpuan untuk terus meningkatkan kecekapannya perkhidmatannya.
Perkhidmatan kecekapan
Beliau seterusnya menambah Westports memiliki kecekapan dan harga lebih baik daripada pelabuhan lain di Malaysia.
“Kecekapan Westports hampir sama dengan Singapura daripada segi pengendalian kapal. Dalam sesetengah kes, kita sebenarnya lebih pantas daripada mereka.
“Kami mempunyai satu kelebihan operasi berbanding mereka, kami lebih kecil. Lebih besar (volum) operasi anda, lebih kompleks cara pengendaliannya.
“Westports, ketika ia lebih kecil, lebih cekap berbanding hari ini.
"Apabila anda ingin membuat perbandingan, anda perlu membandingkan port dengan saiz yang sama," katanya.
Pada 2023, Westports mengendalikan rekod volum kontena sebanyak 10.88 juta TEU.
Pada masa sama, jumlah kontena dikendalikan Singapura pada tahun sama juga mencapai paras tertinggi baharu sebanyak 39.01 juta TEU.
Bagi 2025, Ruben juga menjangkakan kadar peratus pertumbuhan "satu digit".
“Adalah menjadi amalan kami untuk tidak memberikan sebarang janji sebaliknya kami akan cuba sebaik mungkin melaksanakan sasaran itu. Ini adalah amalan sejak kepimpinan ayah saya,” katanya.
Mengenai kebimbangan terhadap isu kelestarian operasi, Westports dilapor meningkatkan usaha membantu menangani perubahan iklim.
Melangkah ke hadapan, Ruben berkata, strategi pertumbuhan Westports akan berkisar pada automasi, pendigitalan dan kemapanan untuk meningkatkan produktiviti.
Beliau berkata, kumpulan itu telah menguji trak tanpa manusia autonomi di pelabuhan selama hampir setahun, namun kos operasi yang tinggi menghalang penggunaannya.
“Apabila kosnya sesuai, kami akan mula menggunakannya. Automasi sepatutnya mengurangkan kos kami,” ujar beliau.
Apabila ditanya sama ada Westports sedang mempertimbangkan untuk menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) di kemudahannya, Ruben hanya berkata "Saya tidak tahu apa itu".
"Saya telah menjalankan pelabuhan selama bertahun-tahun dan melabur dalam teknologi, tidak ada perkara seperti pelabuhan AI.
"Anda meletakkan perkataan AI pada apa sahaja hari ini, anda hanya akan meningkatkan nilainya," kata beliau.
Ruben bagaimanapun, menekankan bahawa Westports mempunyai dasar antigreenwashing policy yang dilaksanakan mulai tahun ini.
Namun, mengenai kebimbangan terhadap isu kelestarian operasinya, Westports dilapor meningkatkan usaha untuk membantu menangani perubahan iklim.
Syarikat itu kini sedang mencari kaedah mengurangkan penggunaan elektrik daripada Tenaga Nasional Bhd sebanyak 10 peratus hingga 15 peratus melalui kewujudan dua loji tenaga solar di pelabuhannya.
Sebuah loji berkapasiti 7 megawatt (MW) telah pun beroperasi sementara sebuah lagi yang berkapsiti 6MW dijangka beroperasi pada tahun ini. — The Star/GANESHWARAN KANA
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram