
INDUSTRI kayu di Malaysia telah berkembang selama beberapa dekad, tetapi cabaran dalam menyeimbangkan pembangunan ekonomi dengan pemeliharaan alam sekitar semakin mendapat perhatian.
Dalam usaha menangani cabaran ini, sebuah perniagaan keluarga dengan pengalaman lebih 28 tahun dalam industri kayu telah mengubah pendekatan memperkenalkan The Green Factory (TGF), sebuah model perniagaan menumpukan kepada amalan pengeluaran kayu lestari bermula pada 2012.
Perniagaan keluarga ini berkembang dari generasi ke generasi, bermula sebagai sebuah syarikat pemprosesan kayu tradisional sebelum beralih ke pendekatan lebih mapan.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Teraju di sebalik transformasi ini merupakan Harith Ridzuan, generasi kedua yang meneruskan perniagaan kilang kayu tersebut di Ampang, Selangor.
Sebagai anak sulung daripada 10 beradik, sejak kecil, Harith sememangnya disiapkan bagi mengambil alih perniagaan tersebut.
Kilang TGF di Ampang, Selangor.
Malah, sejak berusia 10 tahun, beliau juga diberikan pendedahan setiap kali cuti sekolah terhadap aktiviti di kilang terbabit.
Disebabkan itu, sebaik menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan di University of Nottingham, United Kingdom pada 2008, beliau terus terlibat membangunkan perniagaan tersebut secara rasmi.
Dalam beberapa tahun pertama mengambil alih perniagaan itu, Harith turut bereksperimentasi dengan pelbagai bahan kitar semula dan proses lebih lestari dalam pembuatan kayu yang kemudiannya membawa kepada penubuhan The Green Factory.
Dengan lebih daripada 20 tahun pengalaman dalam pertukangan kayu, TGF telah membangunkan kepakaran dalam penyediaan dalaman khas, perabot, barangan rumah, dan produk hadiah.
Harith merupakan generasi kedua menjalankan operasi kilang kayu keluarganya.
TGF mengamalkan pendekatan kitaran menyeluruh dari awal hingga akhir pengeluaran kayu merangkumi aspek sumber bahan mesra alam, reka bentuk lestari, bangunan hijau, kecekapan sistem dan termasuk pengurusan sisa.
Bagaimanapun, menurut Harith, 40, pada tahun lalu, sumbangan daripada produk lestari atau hijaunya kini sudah meningkat kepada 50 peratus daripada keseluruhan pendapatan syarikat.
“Ketika ini permintaan memang tinggi untuk produk kayu lestari lebih-lebih lagi daripada sektor korporat,” katanya kepada Majoriti.
Harith berkata, peningkatan terhadap produk kayu dengan proses pengeluaran lestari itu mula dirasai dengan ketara selepas pandemik Covid-19.
Ujarnya, perubahan tersebut disumbangkan antara lain disebabkan kerana polisi kerajaan yang memberikan penekanan terhadap prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Antara beberapa pelanggan terkenal produk kayu lestari TGF ialah Media Group, Ben's, lululemon Ferrari dan Petronas.
Salah tanggapan
Kilang TGF melaksanakan amalan mapan dalam keseluruhan rantaian pengeluarannya.
Sementara itu, Harith mengakui masih ramai pihak khususnya perniagaan masih memegang tanggapan umum mendakwa pelaksanaan amalan lestari berpotensi membebankan operasi perusahaan masing-masing.
Namun, menurut beliau, pengalamannya selama 13 tahun sejak memulakan TGF membuktikan sebaliknya.
“Sebab kita tahu apabila sebut produk yang ada label ESG, biasanya mereka anggap mahal. Jadi, berikutan itu saya pilih memperjuangkan perkara ini selepas beberapa tahun melakukannya. Saya dapati sebenarnya banyak kelebihan syarikat peroleh.
“Misalnya dari segi penciptaan sumber pendapatan baharu, pengurangan kos, peningkatan margin keuntungan. Selain itu, amalan mapan ini juga mampu menarik anak muda dan juga pelabur,” katanya.
Antara produk keluaran TGF.
Salah satu produk yang dikeluarkannya menerusi amalan mapan adalah alat pemegang telefon pintar yang diperbuat daripada sisa kayu di kilang terbabit.
Menurut Harith, sejak diperkenalkan, TGF berjaya menjual ribuan produk tersebut kepada pengguna.
Bergerak ke hadapan, beliau berkata, TGF merancang meneroka lebih banyak peluang di pasaran luar negara.
“Sekarang ini pun kita dah jual ke negara seperti Jepun dan United Kingdom (UK). Permintaan itu ada, tapi sekarang ini kita dalam proses untuk tambah lagi kapasiti pengeluaran kita,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram