
LEBIH 30 tahun memahat nama dalam industri fesyen tempatan, nama figura tersohor, Datuk Seri Bernard Chandran tidak perlu diperkenalkan lagi.
Beliau merupakan antara pereka fesyen berprofil tinggi di Malaysia yang sudah terbang tinggi.
Mula bertapak dalam industri fesyen sejak akhir 1980-an, Bernard pernah ke kota Paris, Perancis untuk menimba ilmu dan pengalaman.
Di Paris, lelaki berdarah kacukan Cina-India itu membuka pandangan melihat industri fesyen di Paris yang ketika itu sudah jauh ke hadapan berbanding Malaysia sehingga membuatkan beliau tekad menjadikan Malaysia setaraf dengan kota fesyen itu.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Kata Bernard, ketika itu timbul perasaan bahawa Paris tidak memerlukan hasil kerja dan ideanya sebagai pereka fesyen, sebaliknya negara kelahirannya lebih memerlukan.
Atas kerja keras dan usahanya, hari ini Bernard bukan sahaja menjadi buruan selebriti ternama, malah golongan kenamaan dan kerabat diraja untuk menyarung busana rekaannya.
Bernard ternyata tidak mudah berpuas hati dengan segala pencapaian yang dimiliknya ketika ini.
Berkongsi kepada Majoriti, Bernard, 56, berkata, kejayaan diraihnya selama lebih 30 tahun membina nama dalam industri fesyen tempatan itu umpama mimpi menjadi kenyataan.
Ini kerana pencapaian itu sememangnya menjadi impian dan cita-citanya sejak awal berkecimpung dalam industri fesyen.
"Mimpi itu percuma. Melihat kejayaan yang dicapai beberapa pereka tersohor seperti pereka fesyen dari Jepun, Yohji dan Valentino dari Itali, membuatkan saya berangan-angan menjadi pereka fesyen berjaya seperti mereka.
"Mereka mempunyai koleksi fesyen yang hebat, ada arkib pakaian sendiri, pameran dan pertunjukan fesyen.
"Teknik rekaan pakaian mereka juga amat mengagumkan tanpa mengira apa jua kekangan termasuk pada era peperangan.
"Mereka memberi inspirasi kepada saya. Jadi, apa yang saya dapat hari ini memang impian dan cita-cita ketika muda. Malah, lebih banyak lagi perkara yang saya mahu lakukan dan perlu pastikan diri sendiri sentiasa sihat," kata Bernard yang mengakui berdepan cabaran meyakinkan kedua-dua ibu bapanya ketika memutuskan untuk terjun dalam dunia fesyen.
Antara rekaan pakaian karya kreatif Bernard.
Bagaimanapun, Bernard ternyata tidak mudah berpuas hati dengan segala pencapaian yang dimiliknya ketika ini.
Malah katanya, beliau turut beranggapan dirinya masih belum begitu hebat dan masih perlu banyak belajar termasuk daripada anak-anaknya sendiri.
"Saya mahu belajar sesuatu daripada mereka (anak-anak). Misalnya, anak-anak saya mempunyai banyak idea dan mengajar tentang pemilihan warna-warna baharu.
"Saya tidak pernah puas atau merasakan diri saya sudah cukup hebat. Tidak. Setiap individu ada kelebihan masing-masing," ujarnya.
Menerusi perkahwinannya bersama bekas model, Datin Mary Lourdes Chandran, pasangan itu dikurniakan lima cahaya mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram