Antoine sanggup keliling dunia cari batu permata vintaj jarang ditemui


  • Bizz
  • Khamis, 06 Feb 2025

Antoine berkata, persepsi umum tentang rekaan koleksi vintaj sering disalah anggap hanya kerana memiliki nilai sentimen pemakai terdahulu.

BARANG kemas yang diperbuat daripada batu permata bukan sekadar aksesori biasa, tetapi ia juga melambangkan keanggunan, status dan keindahan alam yang luar biasa.

Batu permata seperti berlian, zamrud, nilam, dan delima telah lama menjadi pilihan utama dalam dunia perhiasan, dihargai bukan hanya disebabkan kecantikannya, tetapi dek keunikan dan sifat istimewa dimiliki setiap batu.

Keindahan itu lebih terpancar pada tangan jauhari atau tukang emas yang mempunyai kepakaran pertukangan dengan ketelitian luar biasa.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Kilauan, potongan dan kepelbagaian warna batu permata menjadi kunci kepada nilai pasarannya.

Daya ketahanan batu permata yang dikatakan tidak berpenghujung juga menyebabkan ia sentiasa dikagumi dan harganya terus mencanak tinggi.

Sejak zaman dahulu kala, keindahan batu permata sudah menjadi igauan masyarakat lampau. Banyak peradaban kuno mempercayai mitos yang mempengaruhi kehidupan mereka.

Hari ini, batu permata laksana simbolisme yang membawa erti cinta kekal abadi.

Baik untuk meraikan acara istimewa seperti ulang tahun, perkahwinan, kelahiran mahupun pencapaian, setiap rekaan pati tersimpul kisah tersendiri.

Berkongsi kecintaan terhadap barang kemas dan batu permata, Antoine Bakhache berkata, hiasan diri adalah simbolik kepada kebahagiaan.

Tambahnya, perincian pada rekaan barang kemas memberikan nilai tambah kepada keyakinan diri pemakai.

Sama ada koleksi sekecil kerongsang, soket, subang atau rantai, susunan batu permata dengan kemasan halus ditempa menggunakan tangan oleh tukang emas mampu menggandakan nilai batu permata itu sendiri.

Berdekad dalam industri barang kemas, usahawan barangan kemas berasal dari Lubnan itu memberitahu barang kemas dengan batu permata juga layak dikumpul sebagai aset.

Piawaian

Di bawah jenamanya Bakhache Jewellery, Antoine meletakkan piawaian tinggi dalam menawarkan pelanggannya dengan barang kemas berkualiti tinggi.

6129711556473241795

Antoine meletakkan piawaian yang tinggi terhadap produk di bawah jenamanya. — Bakhache Jewellery

"Proses pemilihan batu itu sendiri memiliki perjalanan seni unik untuk memastikan setiap pemerolehan sejajar dengan cita rasa pelanggan tempatan.

"Perhiasan berharga yang kami bawa masuk datang dari pelbagai negara.

"Bermula daripada hasil kerja, pemilihan logam sehingga sumber batu permata, semuanya diambil kira dengan amat terperinci," katanya yang berpengalaman 35 tahun sebagai tukang emas dan pakar permata.

Bakhache Jewellery merangkumi inti pati kemewahan, setiap barang hiasan diri baharu atau vintaj diketengahkan bagi mengabdikan elemen reka bentuk dan nilai kemewahan yang tiada tandingan

Vintaj

Sebagai salah satu pelopor jualan barangan kemas vintaj di rantau ini, Antoine memberi penjelasan mengenai keunikan koleksi barangan perhiasan diri turun-temurun.

Menerusi proses penelitian, pemilihan dan pendanaan, koleksi vintaj akan menjalani pemeriksaan menyeluruh oleh jauhari yang pakar dan proses pembaikan dilakukan dengan teliti di bengkel bagi mengembalikan kegemilangan asalnya.

Kecintaan dirinya terhadap barang kemas vintaj bermula sejak puluhan tahun lalu apabila pertama kali beliau melawat kedai antik dan rumah lelong di Eropah dan Amerika Syarikat.

"Istilah barang kemas vintaj lazimnya dikategorikan untuk koleksi dari 1920-an atau berusia lebih 50 tahun.

"Kehalusan rekaan seni tangan dengan gaya ikatan batu permata yang digunakan menjadi antara faktor utama kepada penetapan nilai harang perhiasan vintaj menjadi mahal," ujarnya kerap mengelilingi dunia bagi mencari koleksi vintaj terbaik.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, tidak semua rekaan adalah vintaj, namun simpanan perhiasan diri dan batu permata boleh dijadikan sebagai aset terbaik.

Persepsi umum tentang rekaan koleksi vintaj sering disalah anggap hanya kerana memiliki nilai sentimen pemakai terdahulu.

Katanya, penanda atau setem pada koleksi vintaj akan menjadi nilai penentu kepada ketulenan logam, identiti tukang emas atau pengilang dan asal usul rekaan.

"Bahan dan batu permata digunakan juga dapat menentukan kualiti koleksi barang kemas vintaj.

"Potongan vintaj selalunya menampilkan logam berharga seperti emas, perak dan platinum bersama karya ketukangan rumit, ukiran halus dan susunan batu permata yang teliti.

"Penggunaan aksesori seperti pengapit pada rantai, gelang dan kerongsang yang berbeza juga boleh menjadi petunjuk tentang petunjuk tentang era koleksi itu dihasilkan," katanya yang tidak jemu mencari rekaan terbaik untuk diketengahkan kepada pelanggan.

Lebih separuh daripada koleksi Bakhache Jewellery memberi penghormatan kepada jenama ikonik seperti Cartier, Van Cleef & Arpels, Boucheron, Bulgari dan Chaumet.

"Saya mahu menyediakan koleksi vintaj yang tidak lagi atau jarang ditemui.

Sesetengah koleksi dihasilkan pada 1940-an atau 1950-an dengan tema tertentu.

"Antara koleksi berharga ditawarkan adalah kerongsang berbentuk burung dari Perancis dihasilkan pada 1950.

"Koleksi itu sangat dekat di hati saya kerana 10 sahaja dihasilkan dan saya bekerja keras untuk memilikinya," ujar Antoine. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram