
"SECARA asasnya, kita mahu pelanggan mewariskan perabot ini kepada anak-anak mereka kelak."
Berikut merupakan kata-kata daripada Pemilik dan Pengarah Rockwood Furniture, Martin Gilliland ketika ditemui Majoriti di Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
Rockwood yang sudah beroperasi sejak 1988 merupakan pengeluar perabot berasakan kayu jati terbuang atau ditebus guna daripada struktur lama.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Terletak di tengah-tengah kampung tradisional Melayu berdekatan Sungai Penchala, Rockwood Furniture diibaratkan permata tersembunyi yang menanti pelanggan yang mencari produk perabot terbaik.
Jati tebus guna adalah kayu jati daripada struktur lama yang dinyah pasang dengan teliti dan biasanya struktur itu dibina daripada pokok telah ditebang beberapa dekad lalu.
Malah, terdapat bahan kayu digunakan itu dikatakan sudah mencecah usia ratusan tahun.
Di Rockwood, sebaik menerima kayu jati tebus guna, mereka akan memberikan nafas baharu terhadap bahan tersebut dengan mentransformasi menjadi perabot baharu.
Ruang pameran Rockwood yang terletak di Sungai Penchala, Kuala Lumpur.
Menurut Martin, proses pembuatan produk sebahagian besarnya dilakukan di kilang mereka yang beroperasi di Indonesia.
"Jadi, apabila sampai di sini (Kuala Lumpur), kami akan melakukan beberapa kerja sentuhan dan kemasan terakhir," katanya yang turut memberitahu 70 peratus perabot Rockwood menggunakan produk kayu jati ditebus guna dengan selebihnya kayu jati pokok.
Bilik pameran seluas 6,000 kaki persegi Rockwood menampilkan pelbagai rangkaian perabot mengagumkan daripada panel dinding rumit, pintu menarik kepada lebih 20 gaya meja makan berbeza dan pelbagai reka bentuk kabinet.
Sementara itu, koleksi produk jatinya turut dinamakan sempena beberapa pantai popular di seluruh dunia seperti Bondi, Byron, Bingin, Bronte dan Noosa.
Antara meja kayu jati ditawarkan di Rockwood.
"Kami cuba meliputi seberapa banyak cita rasa pelanggan yang terdiri daripada pelbagai bangsa termasuk golongan ekspatriat.
"Tambahan pula, permintaan terhadap produk akan meningkat pada musim perayaan baik Tahun Baru Cina, Hari Raya, Diwali mahupun Hari Natal. Kebanyakan pelanggan membeli perabot berbeza mengikut perayaan masing-masing.
"Sebab itu kalau dilihat kami turut mempunyai produk rekaannya diinspirasi daripada budaya Cina di samping rekaan tradisional yang mendapat permintaan daripada pelanggan tempatan," katanya yang berasal dari Australia dan sudah menetap di Malaysia selama 25 tahun.
Daripada industri teknologi ke perabot
Pilihan rekaan kabinet kayu jati tebus guna yang dijual di Rockwood.
Sebelum berkecimpung dalam industri perniagaan perabot, Martin, 55, terlebih dahulu aktif bidang teknologi dan berkhidmat bersama beberapa syarikat gergasi di Singapura antaranya IBM dan Microsoft.
Bagaimanapun, beliau yang mendirikan rumah tangga bersama wanita Melayu asal Melaka kemudiannya membuat keputusan mengambil alih Rockwood daripada pemilik asal (bersara).
"Kami membangunnya daripada syarikat yang sangat kecil, hampir 15 tahun yang lalu.
"Apabila datang ke sini kami mempunyai tiga pekerja termasuk saya kini mempunyai 16 pekerja," ujarnya.
Martin berkata, beliau mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan tersebut sebagai daripada perancangan ketika tempoh persaraannya.
Namun, beliau berkata, kerja perkayuan bukanlah asing baginya kerana ayah dan datuknya juga merupakan tukang kayu di Australia.
Rangkaian pilihan perabot kayu jati di Rockwood.
"Jadi, saya membesar dengan kerja berkaitan kayu. Perniagaan ini membantu saya untuk berpindah daripada industri teknologi kepada melakukan sesuatu yang disukai," ujarnya.
Dalam pada itu, Martin mengakui, antara cabaran utama adalah bagi meyakinkan pelanggan terhadap produknya dalam situasi yang mana mereka turut mempunyai pilihan lebih murah.
"Kita memang mendapat maklum balas yang mempersoalkan kenapa harga di sini lebih mahal.
"Tapi secara realitinya, mengambil contoh meja makan kayu jati, ia boleh tahan selama beberapa ratus tahun jika dijaga dengan baik, sementara produk yang lain mungkin bertahan hanya selama 5 atau 10 tahun.
"Jadi, tugas kami memastikan produk ditawarkan mempunyai nilai dan kualiti terbaik pada harga berpatutan," ujarnya.
Pada masa sama, Martin berharap agar perabot yang dibeli pelanggan dapat diwarisi daripada satu generasi ke generasi lain.
"Kayu itu sendiri sesetengahnya sudah ratusan tahun. Jadi kalau kita menjaganya produk kayu jati dapat bertahan selama beberapa generasi," katanya menutup bicara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram