Malaysia bantah rancangan paksa warga Palestin berpindah, seru penyelesaian kekal


  • Primer
  • Khamis, 06 Feb 2025

Wisma Putra membantah sekeras-kerasnya cadangan Amerika Syarikat mengambil alih Gaza. — Gambar hiasan/Agensi

MALAYSIA menentang sekeras-kerasnya rancangan untuk memindahkan warga Palestin secara paksa dari tanah mereka sendiri.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh Wisma Putra pada Khamis, Malaysia menganggap tindakan itu tidak lain daripada pembersihan etnik dan ia tidak berperikemanusiaan.

Ia dengan terang-terangan melanggar undang-undang antarabangsa dan mencabuli hak kebebasan rakyat Palestin.

BACA LAGI: Negara Arab tolak cadangan tak masuk akal Trump pindahkan penduduk Palestin, ambil alih Gaza

BACA LAGI: [VIDEO] Iran perkenal dron terkuat diberi nama Gaza, mampu terbang sejauh 1,000km

"Tindakan tidak berperikemanusiaan seperti ini merupakan pembersihan etnik dan jelas merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa serta pelbagai resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Sebarang percubaan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, untuk memaksa penyelesaian secara unilateral dan paksaan yang mengabaikan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri dan mencabuli kebebasan mereka adalah tidak boleh diterima, tidak boleh dibenarkan dan hanya akan memburukkan salah satu konflik yang paling panjang di rantau ini," kata Wisma Putra dalam satu kenyataan.

Dalam masa yang sama, Malaysia menyeru agar masyarakat antarabangsa mencari penyelesaian lebih baik kepada konflik Palestin-Israel ini.

Salah satunya adalah mengiktiraf penyelesian dua negara dan menerima Palestin sebagai ahli penuh PBB.

"Ini adalah seruan kepada semua negara yang belum menyokong penyelesaian dua negara untuk berbuat demikian, mengiktiraf Palestin dan menerimanya sebagai ahli penuh PBB.

"Malaysia menegaskan sokongan dan usaha multilateralnya, termasuk yang sedang dilaksanakan oleh Global Alliance dan Hague Group, dalam usaha mencapai keamanan yang berkekalan melalui penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat," tambah Wisma Putra.

Sebelum ini, terdapat rancangan diketuai Amerika Syarikat untuk memindahkan secara paksa penduduk Palestin ke negara Arab lain seperti Jordan atau Mesir.

Tanah Palestin kemudiannya diratakan dan akan dibangunkan dengan pelbagai masyarakat antarabangsa akan duduk di sana. — The Star/R. SEKARAN

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram