
DI dalam dunia penerbitan alternatif, Amir Muhammad bukan satu nama yang asing.
Malah, beliau yang juga graduan undang-undang daripada University of East Anglia, England juga diberikan gelaran sebagai bapa buku indie tempatan selepas impak dibawa syarikat penerbitan, Fixi yang diasaskannya pada 2011.
Kehadiran Fixi yang menawarkan naskhah fiksyen penulis lokal mencetuskan gelombang segar kepada industri penerbitan tempatan dengan tema novel lebih kontemporari dan urban.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Kisah diangkat menerusi novel diterbitkan syarikatnya ternyata berjaya mengubah landskap dunia penerbitan negara yang ketika itu didominasi oleh novel romansa popular.
Dalam pada itu, selain buku, Amir turut mengasaskan syarikat penerbitan filem, Kuman Pictures pada 2018 yang memberikan tumpuan menghasilkan filem 'thriller' dan seram tempatan dengan bajet rendah.
Kekangan kewangan tidak menjadi penghalang buat Kuman Pictures untuk mencapai beberapa kejayaan memberangsangkan.
Filem kedua terbitannya, Roh dipilih Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) untuk mewakili Malaysia bagi penilaian Academy Awards ke-93 dalam kategori Anugerah Filem Cereka Antarabangsa pada 2020.
Tidak cukup dengan itu, Kuman Pictures turut mencipta sejarah apabila menghasilkan filem pertama negara yang didanai secara 'crowdfunding' menerusi naskhah bertajuk Pendatang yang ditayangkan secara percuma di YouTube.
Amir (tengah) mengasaskan Kuman Pictures pada 2018. — Amir Muhammad
Setakat ini, Pendatang mendapat lebih empat juta tontonan selepas setahun ia dimuat naik di platform tersebut.
Majoriti menemu bual Amir bagi mengetahui lebih lanjut mengenai perjalanan perniagaannya dalam industri kreatif tempatan.
1. Bagaimanakah anda melihat diri anda sebagai seorang usahawan?
Saya menerbit buku sejak 2011 dan juga penerbit filem. Untuk filem saya mula sebagai pengarah filem indie sekitar 2000-an. Tapi syarikat sekarang ini, Kuman Pictures ini ditubuhkan pada 2018.
Jadi, saya buat dua-dua serentak. Dua-dua di dalam industri kreatif.
2. Boleh kongsi macam mana boleh timbul idea untuk tubuhkan Kuman Pictures?
Kuman Pictures ini sebab saya sebenarnya dah berhenti mengarah filem sekitar 2008. Sebab rasa bosan dan waktu itu juga saya mula buat buku sebagai penerbit.
Tapi bila Fixi sudah agak stabil sekitar 2016, saya jadi rindu pada suasana perfileman cumanya tak nak buat sesuatu dengan skala besar. Jadi cuma nak buat satu benda skala yang kecil tapi masih boleh ditayangkan di pawagam.
Saya nak sesuatu yang berada di tengah-tengah. Itu yang mencabar sebenarnya. Sekarang pun masih mencabar.
3. Apa perbezaan daripada segi cabaran sebagai penerbit buku dan filem?
Buku lebih mudah sebab tidak melibatkan ramai orang dan kos pun rendah. Disebabkan kos rendah, dalam setahun kita boleh keluarkan 20 hingga 30 buku.
Tapi tak mungkin dapat keluarkan 20 hingga 30 filem sebab kita tak ada kemampuan itu. Jadi, dia nak tak nak kena macam satu filem setahun. Atau bila ada duit baru boleh buat.
Jadi, dia dua jenis bisnes yang walaupun dalam dunia kreatif dan ada persamaan, tapi perbezaan utama adalah dari segi jumlah dana yang diperlukan. Jadi, buku boleh buat dengan cara lebih spontan.
Filem itu dia kena ada perancangan lebih lama dan ia berbeza-beza mengikut setiap naskhah.
Kadang-kadang daripada dapat skrip ke siap tayang mungkin setahun setengah. Itu purata. Kalau setahun itu dah dikira agak cepat.
Semua filem yang kita dah buat lebih kurang macam itu tempohnya.
4. Kuman Pictures penerbit filem pertama yang berjaya mengeluarkan filem yang didanai secara 'crowdfunding'. Bagaimana boleh tercetus idea tersebut?
Pada awalnya, skrip filem Pendatang itu itu kami dapat bila kami buat pertandingan menulis skrip dan ia adalah salah salah satu skrip yang menjadi finalis.
Kita semua suka, panel penilai semua suka. Tapi, pada masa yang sama semua rasa macam filem ni akan susah dibuat dalam keadaan kita perlu hantar ke Lembaga Penapisan dan sebagainya. Sebab, tema dia adalah berkaitan rasisme.
Jadi, kami simpan saja skrip tu. Kami tak buat apa-apa pun. Waktu itu 2018. Kemudian bila tiba pandemik, kami pun tak ada kerja nak buat.
Poster filem kedua diterbitkan Kuman Pictures yang bertajuk Roh.
Waktu itu kami teringat dan tengok kembali skrip itu. Kemudian terfikir apa kata kita cuba buat juga.
Sebab pada akhirnya, tugas kita adalah untuk menghasilkan apa yang kita nak buat. Bukannya apa yang mudah dibuat selalunya dan skrip itu kami semua suka. Kami rasa, sayanglah kalau ia tidak difilemkan.
Jadi, macam mana nak cari dana? Kalau nak pergi dengan FINAS pun rasanya tak boleh. Kalau nak pergi dengan pelabur pun mungkin tak boleh. Sebab, bukan box office.
Sebab itu, kami rasa disebabkan tema ni penting dan, ramai orang berminat dengan tema ni, secara teori, apa kata kita cuba buat 'crowdfunding'.
Perancangan juga diperlukan untuk itu. Rasanya ia berjalan selama dua bulan. Sasarannya RM300,000 tapi kita dapat lebih sikit.
Jadi, tak pernah lagi orang lain buat macam itu termasuk di Asia Tenggara macam itu.
5. Apa bagi keyakinan untuk buat perkara itu? Adakah terdapat sebarang rujukan daripada penerbit filem luar negara atau macam mana?
Di Asia Tenggara sebenarnya tak ada. Tapi, di luar negara ada. Di Jepun ada, di Amerika ada. Tapi, sebenarnya tak ada apa yang bagi keyakinan pun.
Sebab, kita tahu benda ni satu risiko dan kita buat crowdfunding dengan yang sasaran yang sudah ditetapkan. Jadi, kalau kita tak dapat, tak ada siapa akan perlu bayar apa-apa.
Sebab, rasanya lebih jujur kalau kata, filem ini perlukan RM300 ribu. Kalau tak dapat, Kita tak akan buat dan tiada siapa akan rugi.
Jadi, ia memang satu risiko. Masa mula-mula itu, minat tu agak tinggi. Kami dapat banyak dalam hari pertama. Kemudian, dia menurun tak ada duit baru masuk.
Tapi, bila dua minggu terakhir tu, dia naik balik sehingga kami berjaya capai sasaran.
Sebelum mengasaskan syarikat penerbitan buku, Amir terlebih dahulu menjadi pengarah filem. — George Town Literary Festival
6. Apakah yang dipelajari sepanjang proses menjayakan filem tersebut?
Banyak sebenarnya pelajaran. Untuk ini, yang pertama jangan harapkan kawan untuk tolong. Mereka tak akan tolong.
Jangan harapkan rakan industri untuk tolong. Kalau tengok senarai orang yang bagi duit itu, sangat sikit orang daripada industri filem ini. Kebanyakannya daripada kerja lain.
Jadi, menunjukkan yang jangan harapkan rakan industri dan tak boleh harapkan kawan sangat. Kebanyakkan yang bagi tu, saya tak kenal. Jadi, itu antara pengajarannya.
Untuk pembikin filem independen pula, saya rasa tip utama dia adalah, bila orang lain minta pertolongan, tolong dulu. Buat ini berkali-kali dan buat tanpa nak sesuatu sebenarnya. Tapi, lama-kelamaan, bila kita dah biasa buat, kemungkinan lebih tinggi yang orang akan tolong kita.
Mungkin tak semestinya dari orang yang kita pernah tolong. Mungkin orang lain pun. Tapi, ini sebenarnya penting untuk kita mewujudkan satu ekosistem di mana benda ni boleh berlaku.
Rasanya, itu tip utama. Sebab, beberapa kali ada orang yang minta nasihat, macam mana nak buat 'crowdfunding', soalan pertama saya tanya selalu, pernah tak kamu tolong orang lain buat crowdfunding. Dia kata, tak pernah. Jadi memang dia takkan dapat lah.
Sebab dia sendiri tak layak dapat sebab dia sendiri tak pernah buat, tapi dia nak orang tolong dia.
Kita kena belajar bahawa kita wuju dalam satu ekosistem dan pemahaman itu saya rasa sangat perlu.
7. Salah satu filem terbitan Kuman Pictutes, Roh dipilih untuk dihantar ke Academy Awards ke-93. Dengan kejayaan tersebut, adakah Kuman Pictures kini menetapkan cita-cita baharu seperti memenangi Oscar?
Tiada. Sebab, kalau kita beranggapan macam itu, memanglah kita poyo. Kita tak boleh meletakkan tanda ukur yang datang dari orang lain. Sebab, tanda ukur sendiri adalah adakah kita puas dan adakah kita rasa kita membuat yang terbaik dengan semua kekangan yang ada.
Kadang-kadang, ya. Kadang-kadang, tak. Sebenarnya, bila saya lihat balik beberapa filem kami itu, ada yang sebenarnya kita tak memanfaatkan sepenuhnya apa yang ada di depan mata. Jadi, ada yang rasanya dari segi kekangan itu, dia agak berjaya daripada segi produk itu sendiri.
Jadi, tak perlulah harapkan orang lain untuk bagi pengiktirafan.
8. Jadi, apakah bentuk pengiktirafan yang anda ingin capai dengan usaha dilakukan?
Rasanya kalau kita tengok Pendatang, dia ada beberapa juta penontonan di YouTube sebab percuma dan yang agak memeranjakan saya adalah kebanyakan penonton itu bukan datang dari Malaysia.
Malaysia dia nombor dua. Nombor satu, Indonesia. Agak mengejutkan. Tapi sebab pendatang di Indonesia, maksud dia lain iaitu dia macam visitor, bukan imigran.
Mungkin juga sebab algoritma dan begitu banyak komen ditulis oleh orang Indonesia dan banyak juga dari negara seperti Sepanyol sebab ada sari kata bahasa Sepanyol.
Sebagai orang yang mencipta sesuatu, itu adalah respon yang paling jujur yang kita nak. Sebab orang itu tak dibayar pun untuk tulis apa-apa.
Dia boleh sahaja, nak troll. Tapi ratusan orang yang dah telah meninggalkan komen menunjukkan mereka berfikir dan saya rasa itu adalah kejayaan.
Sama juga dengan buku. Kalau orang itu kata sejak sekolah dia tak baca novel. Tapi dia mula cuba dan tengok-tengok melekat. Jadi, itu kejayaan sebenar. Dia bukan macam tengok jualan ke apa, tapi macam mana orang seperti itu yang sebelumnya dia tak minat baca dia tercetus kembali minat baca buku.
9. Bagaimana anda lihat perkembangan kandungan kreatif dekat Malaysia? Di manakah kedudukan kita misalya dengan negara jiran seperti Indonesia mahupun negara lain?
Sebenarnya kita memang wujud dalam persekitaran. Dia tak ada benda yang berlaku dalam vakum. Sebab semua pun semakin global. Jadi nak kata tak boleh banding pun mustahil sebab penonton memang akan banding.
Sebab dia bayar harga tiket yang sama. Takkanlah selama-lamanya kita nak kata minta mereka sokong lokal. Jadi kena ada sebablah untuk mereka sokongkan?
Amir (tengah) berkata, penglibatannya dalam industri kreatif dipacu oleh minatnya yang mendalam terhadap buku dan filem. — Kuman Pictures
Sebenarnya setiap negara akan rasa industri mereka ada kekurangan. Saya saya ingat masa pergi festival filem Jogja yang pertama pada 2006.
Garin Nugroho (pengarah filem Indonesia) masa ucapannya dia kata di Malaysia beruntung sebab ada filem dalam pelbagai bahasa. Tapi di Indonesia hanya bahasa Indonesia. Masa itu di sana tak ada filem bahasa Jawa.
Pada mereka dia nampak pada Malaysia ini ada variasi. Jadi itu sebenarnya satu kekuatan kita. Tapi tak ramai pembikin filem kita tengok filem lokal. Jadi itu agak pelik sebenarnya. Bukan nak kata kena suka semua, tapi kenapa tak ambil tahu apa yang orang lain buat.
Kemudian daripada segi kualiti itu, ada sahaja karya yang hebat macam Abang Adik atau filem-filem pendek termasuk yang dihasilkan kami sendiri.
Tapi jumlah penghasilan itu tak cukup menonjol sampai orang nampak itu sebagai satu gerakan. Tapi bagi saya ok sahaja. Kita tak perlu terburu-buru nak jadi terbaik.
Kita buat saja kerja kita dan belajar dari apa yang kita buat dan lihat. Sebab kalau kita sentiasa mengukur nak jadi terbaik, itu lebih sesuai untuk industri lain.
Sebab industri kreatif dia bukan satu yang kita ada sasaran konkrit misalnya nak ada RM100 juta pungutan 'box office'. Mungkin orang lain ada yang nak macam itu.
Tapi lebih menarik kalau kita kita buat sesuatu yang kita nak buat dalam konteks seni itu sendiri sama ada dalam seni penulisan atau seni perfileman.
Jadi, kita buat benda yang kita suka. Jadi mungkin saya bukan usahawan yang sejati. Sebab ada orang kata kalau usahawan ini dia akan sentiasa kejar duit.
Dia tak kisah dia buat benda atau masuk industri yang dia tak suka. Contohnya orang dia tak makan telur. Tapi dia tahu ramai orang nak telur jadi dia buat.
Jadi, saya tak mungkin macam itu. Saya hanya boleh buat apa yang saya minat.
10. Sebagai individu yang sudah terlibat puluhan tahun dalam industri, bagaimana daripada segi penglibatan wanita dalam bidang seni kreatif?
Kalau buku, memang kebanyakan penulis novel wanita. Malah dulu pernah jadi macam stereotaip masa Fixi mula kami diberitahu oleh pengedar kalau ada penulis lelaki pun, bagi nama samaran perempuan.
Sebab lagi senang jual. Jadi itu bila saya mula-mula dengar tu, 2011 saya rasa pelik. Tapi saya diberitahu oleh pengedar ini kalau penulis lelaki yang laku seorang sahaja iaitu Ramlee Awang Murshid.
Tapi sekarang rasanya tak ada prejudis itu lagi termasuk untuk buku cinta pun. Kemudian rasanya genre lebih bervariasi berbanding dulu. Tapi pembaca tetap majoriti perempuan.
Kalau pergi mana-mana pesta buku yang tumpuannya novel, sekurang-kurangnya 70 peratus adalah perempuan.
Jadi ini mungkin fenomena di seluruh dunia dan saya rasa ia industri yang bergantung pada bakat perempuan dan sokongan perempuan juga.
Untuk filem, memang masih tak ramai pengarah perempuan. Tapi penernit perempuan ada dan ia bukan sesuatu yang jarang berlaku. Mereka ini juga lebih banyak di TV.
Pengarah masih lebih berat kepada lelaki disebabkan mungkin ada stereotaip yang pengarah ini pekerjaannya jenis kena keluar rumah dua minggu. Mungkin perempuan dari awal diberitahu yang kerja macam itu tak sesuai. Lebih baik kerja ke pejabat.
Kalau produser dia tak perlu pergi ke lapangan sentiasa. Tapi rasanya itu pun dah tidak begitu relevan sekarang. Orang tidak ada tabu itu lagi.
Sebab kalau lihat Malaysia sebelum 80-an zaman studio semua tiada ada pengarah perempuan. Tapi mula 1990-an, dah mula nampak ada beberapa. Tapi mereka tetap minoriti.
Jadi selain selain di posisi pengarah, kerja penerbitan khususnya di belakang tabir kini memang dah ramai perempuan terlibat sama termasuk penulis skrip.
11. Adakah sebarang nasihat untuk mungkin mana-mana individu yang mahu terlibat dalam perniagaan industri kreatif?
Sebenarnya agak pelik untuk anggap saya usahawan. Tapi saya memang tak tahu macam mana nak kerja untuk orang lain.
Sebab lepas sahaja saya berhenti kerja pertama di Petronas untuk habiskan perjanjian biasiswa, saya memang tak kembali kerja di pejabat.
Waktu itu azam saya memang tak mahu kerja di pejabat dan pakai tali leher. Saya lebih suka kerja di lapangan. Malah, Fixi dari awal sampai sekarang pun memang tiada pejabat kecuali kedai dan gudang.
Jadi ini mungkin bukan nasihat, tapi sekadar pandangan saya. Tak perlu ada pejabat. Walaupun memang ada cabaran dan kerumitan tertentu, tapi memiliki pejabat bukan sesuatu yang menjamin untuk perniagaan.
Mungkin sekarang ini dah ramai yang sedar lepas amalan kerja dari rumah ini diperkenalkan.
Kemudian, cuba buat benda yang kita suka. Mungkin kita tak akan kaya. Tapi kita kaya dari segi kepuasan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram