
SEORANG penunggang motosikal maut selepas terlanggar tayar ganti sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer (Km) 232.1 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara pukul 12 tengah malam Selasa.
Ketua Polis Daerah Rembau Superintendan Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kemalangan itu membabitkan lima buah kenderaan.
Beliau berkata, mangsa yang merupakan mekanik, Muhammad Taqiyyuddin Zulkifli, 35, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.
BACA LAGI: 'Payslip' berubah, gaji minimum baharu RM1,700 manfaat lebih 4 juta pekerja bermula Sabtu
Katanya, kemalangan membabitkan sebuah motosikal, bas, lori, pacuan empat roda dan kereta itu turut menyebabkan kecederaan kepada enam individu, termasuk pemandu bas berusia 36 tahun yang mengalami patah tulang pinggul.
"Pemandu bas tersebut bagaimanapun kini dirawat di Hospital Alor Gajah, Melaka.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila bas yang dalam perjalanan dari Singapura ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS) Sungai Besi, Kuala Lumpur melanggar belakang lori di lorong kiri menyebabkan kedua-dua kenderaan hilang kawalan dan terbabas ke lorong kanan.
"Toyota Hilux dan kereta BMW pula tidak sempat mengelak lalu melanggar belakang bas, menyebabkan tayar ganti Toyota Hilux tercampak ke laluan bertentangan sebelum dilanggar penunggang motosikal yang bergerak di lorong kecemasan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Rembau untuk bedah siasat manakala lima lagi cedera ringan turut dikejarkan ke hospital sama untuk rawatan.
Kemalangan itu sekali gus menyebabkan lorong kanan bagi kedua-dua arah di lokasi kejadian ditutup sementara.
Sementara itu, kes kini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram