
ORANG awam yang sedang berjoging menjumpai mayat lelaki berusia 54 tahun di dalam parit air di belakang Masjid Kampung Kubang Rambutan, Rantau Panjang, Kelantan pada pukul 10.03 pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, pihaknya segera ke lokasi kejadian selepas menerima laporan mengenai mayat di dalam parit berkenaan.
Kama Azural berkata, siasatan awal oleh pihak polis mendapati mangsa adalah seorang lelaki dipercayai berbangsa Melayu yang menetap di Kampung Gual Sitok, Gual Periok, Rantau Panjang.
“Mayat ditemui dalam keadaan terapung di permukaan air yang dipenuhi sampah sarap dengan berpakaian lengkap.
“Anggota bertugas kemudian membawa keluar mayat berkenaan sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Pasir Mas (HPM) untuk tujuan bedah siasat.
“Selepas pemeriksaan dibuat, didapati terdapat kesan kemalangan motosikal terbabas masuk ke dalam parit air namun motosikal terbabit tidak dijumpai selain tidak menerima sebarang laporan kehilangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kama Azural berkata, mayat berkenaan disyaki telah hanyut dan tersangkut di kawasan parit bersama sampah sarap.
“Sementara itu, pemeriksaan awal ke atas mangsa didapati tiada sebarang kesan kecederaan yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah dan ia diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Kami menyeru agar masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat balai polis berhampiran agar tindakan awal dapat diambil dengan segera.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat digesa menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 09-7932222,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram