'Payslip' berubah, gaji minimum baharu RM1,700 manfaat lebih 4 juta pekerja bermula Sabtu


  • Primer
  • Jumaat, 31 Jan 2025

Kegagalan mematuhi pelaksanaan Perintah Gaji Minimum adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan penalti di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011. — Gambar Hiasan

SERAMAI 4.37 juta pekerja bakal mendapat manfaat daripada pelaksanaan Perintah Gaji Minimum sebanyak RM1,700 sebulan yang berkuat kuasa mulai Sabtu (1 Februari).

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan menyatakan bahawa pelaksanaan itu akan berkuat kuasa di seluruh negara dan meliputi majikan yang mempunyai lima atau lebih pekerja, serta mereka yang terlibat dalam aktiviti profesional tanpa mengira bilangan pekerja yang mereka ada.

Bagi majikan dengan kurang daripada lima pekerja, tarikh kuat kuasa adalah pada 1 Ogos 2025.

BACA LAGI: 'Tiada masalah main dalam hujan', Bobby Gonzales optimis The Rhinos ke final Piala Malaysia, legenda HM yakin tanpa Hidalgo

BACA LAGI: [VIDEO] Tinggalkan legasi 14 tahun bersama Puma, Antoine Griezmann kini duta but Decathlon

Menerusi kenyataan itu, langkah tersebut bagi memberi mereka tempoh yang mencukupi untuk menyesuaikan struktur gaji serta operasi syarikat.

"Inisiatif ini... selaras dengan agenda Ekonomi Madani yang menekankan keadilan sosial dan kesejahteraan rakyat bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif.

"Ia juga sejajar dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan taraf ekonomi negara dengan meningkatkan kuasa beli, yang akhirnya akan memperbaiki kualiti hidup rakyat," kata kementerian dalam kenyataan pada Jumaat (31 Januari).

Kementerian turut menegaskan bahawa semua majikan wajib melaksanakan dan mematuhi peraturan itu serta memastikan pekerja mereka menerima gaji pokok tidak kurang daripada RM1,700 sebulan.

Kegagalan mematuhi peraturan itu adalah satu kesalahan dan boleh dikenakan penalti di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.

Bagi memastikan peralihan berjalan lancar, kementerian telah memperkenalkan beberapa inisiatif sokongan untuk majikan dan pekerja.

Sesi libat urus telah diadakan dengan majikan di seluruh negara, tambahnya.

Saluran aduan dan pemantauan juga telah disediakan untuk pekerja yang menghadapi isu ketidakpatuhan melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Jabatan Tenaga Kerja Sabah dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak.

Kementerian mengingatkan majikan bahawa gaji minimum tidak sepatutnya dijadikan penanda aras untuk gaji permulaan bagi semua pekerja, terutamanya graduan dan pekerja harus dibayar dengan adil berdasarkan kemahiran mereka.

Ia berkata, bahawa pelaksanaan Perintah Gaji Minimum adalah salah satu pendekatan utama kementerian dalam meningkatkan pendapatan pekerja, selain dasar Gaji Progresif dan usaha mempertingkatkan latihan kemahiran sebagai cara untuk meningkatkan produktiviti dan gaji.

Dengan pelaksanaan yang berkesan, inisiatif itu bukan sahaja akan meningkatkan kesejahteraan pekerja tetapi juga menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, tambahnya.

Kementerian turut menyeru semua majikan, pekerja dan pihak berkepentingan industri untuk bekerjasama bagi memastikan kejayaan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum yang baharu itu.

Orang ramai yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai perintah gaji minimum ini boleh melayari: https://minimumwages.mohr.gov.my/ Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram