![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/03/3148707.png)
MANGSA maut kemalangan di Jalan Hulu Langat-Ampang, Kuala Lumpur pada Ahad dilaporkan seorang pelajar cemerlang dalam bidang perakaunan.
Allahyarham Aysar Zahran Saiful Alimin, 20, merupakan penerima biasiswa MyPAC-Maybank Islamic Berhad bagi program ACCA-FIA di sebuah pusat pendidikan TYMBA Education, Subang Jaya, Selangor.
Perkara itu dikongsikan TYMBA Education menerusi hantaran di Facebook pada Isnin dengan ucapan takziah atas pemergian pelajar cemerlang tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Nahas bertembung treler, suami isteri maut, 2 anak parah di Gua Musang
"Pencapaian luar biasa Aysar, termasuk meraih tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia bagi kertas Management Information 1 (MA1) dalam peperiksaan FIA pada Disember 2023, amat membanggakan kami.
"Semoga ALLAH mengurniakan kesabaran dan kekuatan kepada mereka, serta menempatkan roh Aysar dalam kedamaian abadi di taman-taman syurga," katanya.
Aysar Zahran merupakan pelajar cemerlang jurusan perakaunan di pusat pendidikan TYMBA Education.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan kejadian berlaku pukul 4.45 petang itu melibatkan sebanyak empat buah motosikal serta sebuah kereta.
"Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza yang datang dari arah Ampang telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan sehingga menyebabkan salah seorang penunggang motosikal tercampak di tepi jalan.
"Mangsa, Aysar Zahran disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala lima lagi penunggang dan pembonceng motosikal lain dibawa ke Hospital Ampang untuk mendapat rawatan.
"Kesemua mereka yang terlibat kemalangan berusia 17 hingga 38 tahun dengan seorang pemandu Perodua Alza berusia 27 tahun telah pun ditahan," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Sementara itu, Siti Noor Azira Aris di Facebook turut meluahkan rasa sedih atas pemergian rakan karibnya itu yang disifatkan sekadar pinjaman Tuhan kepadanya.
"Aku dan arwah kenal dari zaman sekolah lagi, takdir ALLAH siapa kita untuk menidakkan, arwah Aysar dah anggap aku macam adik.
"Sama-sama gembira, kali terakhir dapat borak dengan arwah beberapa hari lepas. Setiap yang hidup pasti akan pergi selamanya.
"ALLAH telah ambil semula haknya yang telah dipinjamkan kepada kami," ujarnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram