![](https://apicms.majoriti.com.my/uploads/images/2025/02/02/3146501.jpg)
SEJAK kebelakangan ini, penggunaan pati minyak aromaterapi semakin popular kerana disifatkan membantu meningkatkan kualiti kesihatan fizikal dan mental.
Bahkan, perkembangan popularitinya itu juga membawa kepada kelahiran pelbagai jenama produk dan tawaran manfaat kepada tubuh, minda serta kesihatan.
Selain disapu terus pada kulit, pati minyak aromaterapi juga digunakan dalam kaedah lain seperti difuser dan mandian, malah dijadikan haruman yang dapat mengembalikan seri harian.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Pun begitu, apakah manfaat aromaterapi untuk kesihatan dan bagaimana ia bertindak untuk mengembalikan mood seelepas keletihan dengan tugasan harian?
Pengasas Double C Aromatheraphy, Christine Looi berkata, aromaterapi adalah terapi pemulihan dilakukan dengan memanfaatkan pati minyak (essential oil) ekstrak tanam-tanaman.
Berbekalkan pengalaman sebagai pakar aromaterapi sejak lima tahun lalu, katanya pati minyak itu adalah terapi alternatif untuk menjaga kesihatan tubuh.
Minyak aromaterapi berasal dari ekstrak tumbuhan seperti Euculyptus, bunga mawar, lavender, chamomile, rosemary, tea tree, lemon dan sandal wood.
Ketika ditemui di pusat terapi itu, Christine berkata, pati aromaterapi juga dibuat menggunakan pelbagai bahagian pokok seperti kulit, akar, buah dan kelopak bunga.
"Aromaterapi bekerja dengan cara merangsang saraf hidung dan otak kerana aroma terhasil daripada pati ini dapat merangsang sistem saraf di otak.
"Sistem otak pula mempunyai pelbagai peranan antaranya mengatur dan mengawal emosi. Emosi yang sihat juga punca kepada badan yang kuat dan bebas daripada pelbagai penyakit.
"Aromaterapi dapat merangsang penghasilan hormon serotonin bagi merangsang sistem saraf dan hati selain menjaga kesihatan jantung, tekanan darah serta tekanan," katanya.
Jelas Christine lagi, aromaterapi juga dapat berfungsi sebagai anti bakteria dan antiradang namun ia tidak dapat digunakan sebagai ubat merawat penyakit sebaliknya dijadikan pilihan alternatif untuk mengembalikan emosi positif.
Pati aromaterapi dibuat menggunakan pelbagai bahagian pokok seperti kulit, akar, buah dan kelopak bunga. — Double C Aromatheraphy
"Emosi yang seimbang dan bagus membantu sistem dalaman tubuh dan organ berfungsi dengan baik kerana rembesan hormon memainkan peranan tersendiri. Di sini, kami akan sediakan minyak mengikut masalah dan kesesuaian khusus pelanggan.
"Jika anda mengalami tekanan berlebihan, lavender dapat membantu. Selain itu, aromaterapi juga membantu masalah pernafasan dengan membersihkan udara dari bakteria dan kuman," katanya.
Menjelaskan dengan lebih lanjut, Christine berkata, campuran minyak aromaterapi dengan minyak sayur-sayuran juga membolehkan proses urutan dijalankan dengan baik.
Beliau yang meninggalkan bidang auditor di Singapura dan memilih menceburi dunia aromaterapi secara serius berkata, pati minyak itu yang terserap ke tubuh akan memberikan manfaat bagi kesihatan.
Sementara itu, katanya wangian yang dihasilkan juga dapat memberikan kesan kepada otot sekali gus membuat bahagian dalaman tubuh lebih relaks dan menenangkan.
Antara pelanggan yang mendapatkan kelas pembuatan minyak aromaterapi. — Double C Aromatheraphy
"Meskipun minyak aromaterapi memiliki banyak manfaat, pastikan anda sudah faham penggunaannya dan mendapatkan penerangan pakar aromaterapi.
"Hindari daripada pengambilan secara oral kerana kelikatan minyak aromaterapi hanya sesuai untuk penggunaan luaran. Tiada juga bukti perubatan membolehkan minyak ini ditelan," jelasnya.
Pada masa sama, Christine juga mengingatkan supaya pengguna elak daripada menggunakan aromaterapi pada kulit anak di bawah lima tahun,
Ini kerana keadaan kulit kanak-kanak pada usia tersebut masih sensitif.
Menyentuh tentang urutan aromaterapi, beliau memberitahu ia dapat mengurangkan ketegangan dialami seseorang termasuk tekanan emosi dan depresi serta kekejangan badan.
"Rawatan aromaterapi adalah pilihan alternatif, namun ia memberikan pelbagai khasiat terhadap kesihatan dan kesegaran tubuh.
Ini juga dapat mengurangkan kepenatan disebabkan rutin harian padat. Langkah terbaik adalah melakukan urutan aromaterapi bagi melegakan segala tekanan.
"Selain itu, urutan ini juga membantu menyingkirkan lebihan toksin dalam badan, merehatkan otot yang mengalami ketegangan dan mengurangkan kadar degupan degupan jantung serta tekanan darah," katanya.
Double C Aromatheraphy turut menyediakan kelas pembuatan minyak aromaterapi. — Double C Aromatheraphy
Menurut Christine, paling utama, urutan itu berupaya merehatkan minda serta menyegarkan tubuh.
"Urutan aromateraapi berbeza dengan urutan tradisional kerana ia bertujuan untuk memberikan kelegaan. Ramai pelanggan selesa dengan keasyikan teknik urutan dilakukan.
"Selain itu, aroma dihasilkan pati minyak yang dirumus khusus mengikut keperluan tubuh pelanggan juga dapat memberikan ketenangan dan keperluan yang holistik pada emosi pelanggan," katanya.
Selain itu, katanya setiap jenis pati minyak aromaterapi yang diimport juga amat berharga kerana ia mem berikan kesan penggunaan yang berbeza kepada pengguna.
Double C Aromatheraphy yang terletak di The Arkadia, Desa Park City, Kuala Lumpur menyediakan perkhidmatan berasaskan aromaterapi meliputi rundingan, penjagaan kulit, urutan, dan termasuk kelas penghasilan minyak wangi dan pembuatan lilin.
Harga kelas bermula pada RM128 dan ke atas manakala rangkaian pati minyak aromaterapi yang dijual bermula pada harga RM45. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram