[VIDEO] Kes rempuh Jalan Klang Lama: 5 ditahan ada rekod jenayah, polis arah 3 lagi suspek bebas serah diri


  • 112
  • Jumaat, 31 Jan 2025

Tangkap layar kejadian langgar lari membabitkan dua kenderaan yang merempuh sekumpulan individu berhampiran sebuah pusat hiburan, di Jalan Klang Lama pada Rabu.

POLIS sedang memburu tiga lagi suspek dipercayai terlibat dalam insiden langgar lari melibatkan dua kenderaan dipandu secara melulu di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur pada Rabu.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, polis setakat ini sudah menahan lima suspek dan meminta mereka yang masih bebas menyerah diri.

"Lima lelaki ditahan berumur lingkungan 20-an hingga 30-an, ditahan di sekitar Banting, Selangor dan didapati mempunyai rekod jenayah lampau," katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

BACA LAGI: [VIDEO] JPJ Pahang tampil beri penjelasan video tular anggota bertumbuk, rupanya hanya demo

BACA LAGI: [VIDEO] 'Keluarga patut main peranan', ramai respons video tular mangsa sebelum kejadian dipukul

6116163786512645990

Foto tiga suspek yang masih lagi bebas. — Polis

Azry Akmar berkata, dalam kejadian pukul 6.18 pagi itu, seorang lelaki warga tempatan ternampak dua buah kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Vios dipandu secara melalu keluar dari tempat letak kereta di sebuah bangunan dan melalui jalan di hadapan pusat hiburan berkenaan.

Dua buah kenderaan terbabit kemudian melanggar sekumpulan lelaki mengakibatkan dua individu mengalami kecederaan dengan kesemua mangsa sudah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Menurut Azry Akmar, permohonan reman kesemua suspek akan dilakukan pada Jumaat dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.

Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222 atau mana-mana balai polis berhampiran, katanya.

Terdahulu, tular rakaman sebuah insiden di lokasi kejadian pada Rabu memaparkan dua buah kenderaan jenis Toyota Vios dan pacuan empat roda, Hilux bertindak melanggar sekumpulan lelaki. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram