[VIDEO] Warga India maut, 4 cedera ceroboh landasan kereta api di Klang


  • 112
  • Selasa, 28 Jan 2025

Tren komuter yang berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada pukul 6.39 pagi itu membawa 200 penumpang. — Gambar hiasan

SEORANG warga India maut, sementara empat lagi cedera selepas menceroboh landasan kereta api di laluan antara Teluk Pulai dan Klang di Selangor.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, tren komuter nombor 2110, yang berlepas dari Stesen Jalan Kastam pada pukul 6.39 pagi membawa 200 penumpang, terpaksa berhenti selepas melanggar penceroboh itu di Kilometer 34.734 antara Teluk Pulai dan Klang.

Menurutnya, mangsa yang cedera dibawa ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan lanjut.

BACA LAGI: [VIDEO] E-Sukan VR pertama di Malaysia, rasai pengalaman futuristik di EVA Sungai Long

BACA LAGI: Tunai janji selepas 53 tahun kahwin, bekalan elektrik terputus pahit manis Salleh ke Kashmir bersama cinta hati

“Penumpang dipindahkan ke Stesen Klang, diiringi pegawai polis bantuan dan kakitangan KTMB untuk menaiki bas pengantara yang disediakan di stesen tersebut menuju ke Stesen Subang Jaya.

“Dalam insiden ini, seorang penceroboh dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala empat lagi cedera ringan.

"Mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan lanjut. Pihak berkuasa akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Jelas kenyataan itu, tren tersebut mengalami kerosakan hingga menyebabkan kelewatan melebihi 60 minit.

Ujarnya, sebuah lokomotif bantuan dihantar untuk menarik tren yang terjejas bagi membolehkan mayat dikeluarkan dan perkhidmatan tren disambung semula seperti biasa.

“Penumpang yang terjejas oleh tren berikutnya juga dipindahkan menggunakan bas pengantara percuma ke Stesen Subang Jaya untuk meneruskan perjalanan mereka ke destinasi masing-masing.

Insiden itu juga turut dikongsikan menerusi rakaman video yang dimuat naik di laman Facebook Malaysian Land Public Transport Fans (MLPTF) pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, polis mengesahkan kes warga asing yang maut dilanggar tren komuter api di Stesen Komuter Klang tiada sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya menerima panggilan MERS 999 daripada pemandu tren itu pada 7.22 pagi dan siasatan mendapati kejadian berlaku pada 6.38 pagi ketika komuter berkenaan dari Pelabuhan Klang ke Tanjung Malim.

“Setakat ini polis mendapati, tiada sebarang unsur jenayah dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), dengan hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian akibat kecederaan dilanggar tren,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat sebagai mati mengejut dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut boleh menyalurkannya kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan di talian 03-33762222 atau hadir ke balai polis berhampiran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram