JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Pahang tampil menjelaskan video tular memaparkan kejadian tegang melibatkan tindakan kekasaran anggotanya dengan seorang lelaki merupakan hanya lakonan demonstrasi.
Dalam satu kenyataan pada Sabtu, JPJ menjelaskan insiden dalam video tersebar itu merupakan sebahagian daripada babak dilakonkan dalam satu acara raptai pada Jumaat.
Jelasnya, demonstrasi itu adalah bersempena dengan lawatan kerja Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia pada Isnin ini.
BACA LAGI: [VIDEO] Puspakom JB siasat kes staf ditampar pemandu lori mengamuk gagal ujian brek
BACA LAGI: [VIDEO] Padah tampar staf PUSPAKOM di JB, warga emas didenda RM1,600
"Sehubungan itu, JPJ Pahang menyeru kepada orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak tepat atau mengelirukan kerana ia boleh mencetuskan kekeliruan dan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
"Orang ramai dinasihatkan agar berhati-hati dan merujuk kepada sumber yang sahih sebelum mempercayai dan berkongsi sebarang berita atau video yang tersebar," menurut kenyataan itu.
Pada masa sama, JPJ Pahang memaklumkan pihaknya akan terus komited memastikan setiap anggota penguatkuasa dilatih dengan baik dan bersedia menangani sebarang situasi dengan profesionalisme serta integriti tertinggi.
"Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan lanjut atau maklumat mengenai kejadian ini, orang ramai boleh menghubungi JPJ Pahang di talian rasmi kami atau merujuk kepada saluran komunikasi rasmi untuk perkembangan terkini," katanya.
Pada Jumaat, tular video berdurasi 31 saat yang dikatakan berlaku di perkarangan Kompleks JPJ Pahang memaparkan cubaan anggota penguatkuasa jabatan menahan seorang lelaki. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram