INSIDEN melibatkan seorang lelaki dipercayai Orang Kelainan Upaya (OKU) yang dipukul beramai-ramai di Pasar Tani Padang Astaka, Kemaman mencetuskan perdebatan di media sosial.
Video yang tular menunjukkan lelaki itu terbaring di tengah hujan selepas menjadi mangsa pukul, dipercayai akibat insiden kecil ketika dia menunggang motosikal melalui kawasan gerai dan tidak sengaja terlanggar salah satu gerai penjaja sehingga barangan jualan tumpah.
Bagaimanapun, itu bukanlah kali pertama individu OKU itu terlibat dalam insiden melibatkan provokasi selepas pengguna media sosial, Iqbal Kaizen memuat naik rakaman video yang memberikan perspektif berbeza.
BACA LAGI: [VIDEO] Polis buru suspek pukul penunggang OKU langgar tapak niaga Pasar Tani Padang Astaka
Rakaman itu menunjukkan lelaki OKU tersebut dipercayai menunjukkan isyarat lucah kepada orang ramai, sekali gus menceritakan bagaimana dia kerap bersikap sedemikian.
Jadi, tidak hairanlah insiden pada Jumaat itu berlaku dengan terdapat kemungkinan besar dia melakukan provokasi sehingga mencetuskan rasa kurang senang daripada orang ramai.
"Orang Kemaman baik-baik, tapi kalau sampai tahap ini, mesti ada sebab.
"Tindakan memukul itu salah, tapi provokasi melampau membuatkan mereka hilang kawalan emosi.
"Yang paling salah dalam situasi ini adalah keluarganya. Sudah tahu ada ahli keluarga yang boleh bersikap tidak terkawal, boleh lagi benarkan tunggang motosikal sehingga membahayakan orang rami," katanya.
Dalam perbincangan yang timbul, ramai netizen menekankan pentingnya peranan keluarga dalam memastikan individu OKU mendapat pemantauan sewajarnya.
Seorang pengguna media sosial, Laila Sabiha Md Saberi, menjelaskan bahawa masalah kesihatan mental mungkin memainkan peranan dalam insiden ini.
“Sakit mental ada tahap tertentu. Kadang-kadang pesakit boleh hilang kawalan tanpa sedar apa yang mereka lakukan. Sebab itu keluarga perlu memastikan mereka mendapatkan rawatan dan ubat dengan disiplin,” katanya.
Laila juga menegaskan bahawa tindakan memukul lelaki tersebut tetap tidak boleh diterima.
“Kita yang sihat perlu belajar mengawal emosi. Jika situasi menjadi berbahaya, lapor kepada polis atau pihak berkuasa. Bukannya bertindak melulu," tambahnya.
Terdahulu polis mengesahkan penahanan tiga lelaki susulan kejadian lelaki orang kurang upaya (OKU) dipukul di tapak jualan pasar tani di Kemaman, Terengganu pada Jumaat.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Wan Muhammad Wan Jaafar berkata, kesemua suspek ditahan untuk membantu siasatan ketika datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman kira-kira pukul 8 malam Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram