
SEORANG lelaki berusia 25 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Kota Bharu-Gua Musang, Kuala Krai, Kelantan pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku apabila sebuah kereta dari Machang menghala ke Kuala Krai, merempuh motosikal mangsa di lorong bertentangan.
Beliau berkata, pemandu kereta itu cuba memotong kenderaan lain di hadapannya sebelum merempuh motosikal mangsa.
BACA LAGI: Pelajar Malaysia ditemukan dalam keadaan keliru, ibu syukur Nurin Hannani selamat di Tokyo
"Akibat rempuhan itu, mangsa cedera parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mazlan berkata, ujian awal air kencing ke atas pemandu kereta didapati positif dadah jenis methamphetamine.
Tambahnya, kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu kereta memotong kenderaan lain dan memasuki lorong bertentangan sehingga menyebabkan kemalangan maut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram