[VIDEO] Tragedi Burari, 2 termasuk budak maut, ramai terperangkap bangunan 4 tingkat runtuh di Delhi


  • Benua
  • Selasa, 28 Jan 2025

Dua orang disahkan maut manakala beberapa masih terperangkap selepas bangunan empat tingkat runtuh di kawasan Burari, Delhi, India pada Isnin.

SEKURANG-KURANGNYA dua orang maut selepas sebuah bangunan empat tingkat runtuh di kawasan Burari, Delhi, India pada Isnin, kata pihak Polis Delhi.

Polis Delhi memaklumkan bahawa mereka menerima panggilan mengenai kejadian itu sekitar pukul 6.58 petang.

Bangunan yang terletak di atas plot tanah seluas 200 meter persegi berhampiran Sekolah Awam Oscar itu runtuh sehingga menyebabkan operasi menyelamat segera dijalankan.

"Operasi menyelamat masih diteruskan dan kami percaya ada lagi mangsa yang terperangkap. Pihak polis dan bomba berada di lokasi kejadian.

"Setakat ini, 12 orang telah diselamatkan dan dibawa ke hospital terdekat," menurut kenyataan polis.

BACA LAGI: [VIDEO] E-Sukan VR pertama di Malaysia, rasai pengalaman futuristik di EVA Sungai Long

BACA LAGI: Tunai janji selepas 53 tahun kahwin, bekalan elektrik terputus pahit manis Salleh ke Kashmir bersama cinta hati

Ketua Perkhidmatan Bomba Delhi (DFS), Atul Garg melaporkan bahawa sembilan jentera bomba dikerahkan untuk membantu operasi tersebut.

"Pasukan kami berjaya menyelamatkan tiga budak perempuan dan seorang lelaki, yang kesemuanya telah dihantar ke hospital berhampiran," katanya.

Kejadian itu mencetuskan huru-hara di kawasan itu, dengan penduduk menyangka ia mungkin gempa bumi atau letupan silinder gas.

Mengulas lanjut, kawasan kejadian telah ditutup oleh polis bagi mengelakkan kemalangan lebih lanjut sementara operasi menyelamat diteruskan.

Dalam kenyataan di laman X, Ketua Menteri Delhi, Atishi mengucapkan takziah kepada mangsa yang terjejas dalam insiden itu.

"Kejadian runtuhan bangunan di Burari ini amat menyedihkan.

"Saya telah berbincang dengan pihak pentadbiran tempatan untuk memastikan operasi bantuan dan penyelamatan dilaksanakan dengan segera.

"Semua bantuan akan diberikan kepada mangsa terlibat," katanya.

Bekas Ketua Menteri Delhi dan pemimpin Parti Aam Aadmi (AAP), Arvind Kejriwal turut menyatakan rasa sedih yang mendalam terhadap peristiwa terbabit.

"Wakil rakyat kami dari Burari, Sanjeev Jha telah diarahkan untuk segera ke lokasi bersama ahli parti bagi membantu pentadbiran dalam usaha penyelamatan dan bantuan. Kami akan memberikan segala bantuan yang diperlukan kepada penduduk setempat," katanya.

Operasi menyelamat masih diteruskan, dengan pihak berkuasa bekerja keras untuk menyelamatkan mereka yang masih terperangkap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram