SEBUT sahaja Cameron Highlands, masyarakat pastinya terbayang destinasi pelancongan dengan pelbagai tarikan seperti suasana nyaman, pemandangan bukit memukau dan buah-buahan strawberi serta sayuran segar yang sentiasa menjadi tumpuan.
Namun, selang tahun silih berganti pusat peranginan popular di Pahang itu kian suram dan kurang dikunjungi ekoran beberapa faktor yang menjadi penghalang.
Paling ketara adalah kos perbelanjaan terlampau tinggi perlu ditampung dari segi makan dan penginapan hotel yang dikatakan terlampau mahal.
BACA LAGI: [VIDEO] Pemandu wanita cemas diserang 2 lelaki samseng, sengaja letup mercun atas kereta di Klang
Tidak dinafikan faktor jarak jauh dari kemudahan bandar mungkin menjadi sebab peniaga mengenakan harga jualan sedikit tinggi namun, situasi itu dikatakan semakin tidak terkawal dan mengundang spekulasi ramai.
Kea Farm, Cameron Highlands kian suram tanpa pelancong.
Warga maya di laman sosial meluahkan kekecewaan berkaitan hal tersebut dan menggesa agar ada penambahbaikan dilakukan pihak berwajib.
"Makanan mahal, semua tempat nak masuk berbayar dengan harga agak mahal, dah lah sesak nak masuk tempat macam taman bunga mahal, tengok kambing pun sama, seorang masuk dah RM35 kalau sekeluarga lima anak berapa pula," kata Bidadari Bonda.
"Jalan sesak, makanan harga kayangan dengan kos penginapan hotel pun harga melambung tinggi sekarang," ujar Haris Halim.
"Barang mahal sangat, peniaga pun banyak main tipu jual harga tak masuk akal, jagung dia tu ada yang palsu tapi jual mahal, cuaca pun dah tak sejuk macam dulu," jelas Anna Raja.
"Jalan sesak dan harga makan sana terlampau tinggi, boleh pergi haji balik hari, pihak atasan tolong la lakukan sesuatu," tambah Mohd Azhari Ahian.
Terdahulu, Cameron Highlands kini dikatakan semakin sunyi tanpa pelancong selepas beberapa isu tanah runtuh yang melanda kawasan tanah tinggi itu pada Disember tahun lalu.
Malah, kedai makan serta premis penginapan hotel bajet di sekitar pekan Brinchang juga lengang dengan kehadiran pengunjung meskipun pada musim cuti sekolah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram