KEMUDAHAN sukan yang dikendalikan oleh pihak berkuasa tempatan di Lembah Klang mungkin akan menikmati bil elektrik yang lebih rendah selepas dipasang panel solar.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, satu cadangan sedang dipertimbangkan untuk memasang panel solar di kemudahan sukan tersebut bagi membantu pihak berkuasa mengurangkan kos premis terbabit.
Beliau berkata, kebanyakan pihak berkuasa tempatan cenderung menutup kemudahan sukan selepas waktu operasi bagi mengurangkan bil elektrik.
"Saya telah menerima banyak aduan daripada orang ramai yang ingin mengakses kemudahan ini selepas waktu pejabat,” katanya pada Isnin.
"Cadangan ini akan membantu pihak berkuasa tempatan menguruskan kos dengan lebih baik sambil memastikan kemudahan tersebut dibuka lebih lama," tambahnya.
BACA LAGI: [VIDEO] E-Sukan VR pertama di Malaysia, rasai pengalaman futuristik di EVA Sungai Long
Hannah Yeoh berkata, pemasangan panel solar akan dilaksanakan di kemudahan sukan di Lembah Klang.
Hannah berkata, idea untuk memasang panel solar itu tercetus selepas lawatannya ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim, Perak.
“Semasa lawatan tersebut, saya telah diberi penerangan mengenai infrastruktur di sana, dan ada yang dikuasakan dengan panel solar,” katanya.
Hannah ditemui selepas satu lawatan di Jalan Burung Kasawari, Taman Bukit Maluri, Kuala Lumpur bagi memantau projek menaik taraf atap gelanggang bola keranjang di kawasan tersebut.
Projek yang dimulakan pada akhir tahun 2023 dan siap pada November lepas itu menelan kos sebanyak RM200,000 dan dilaksanakan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dengan dana daripada Kementerian Belia dan Sukan.
Sementara itu, Hannah berkata, kementeriannya juga sedang bekerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi untuk membangunkan kemudahan sukan di universiti tempatan.
Beliau berkata, beberapa universiti seperti UPSI, Universiti Malaya, Universiti Teknologi Mara dan Universiti Putra Malaysia telah dikenal pasti untuk tujuan berkenaan.
Inisiatif itu, tambahnya, bertujuan untuk memberikan pelajar universiti akses yang lebih baik kepada kemudahan rekreasi dan sukan. — The Star/FARID WAHAB
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram