KETIKA melanjutkan pengajian di Melbourne, Australia, Aliyaa Suraya sering berbincang dengan bapanya mengenai minat baharu yang beliau temui di Arab Saudi iaitu berkaitan penanaman buah tin.
Menerusi perkongsian tersebut, bapanya menggalakkannya yang sedang belajar dalam bidang seni bina meneroka ladang buah tin di bandar tersebut dan mendapatkan sumber varieti unik tumbuhan di sana.
Ia bertujuan menambahkan lagi koleksi varieti pokok tin dimiliki bapanya, Mohd Hilmi Yusoff, 69, yang mengasaskan firma arkitek bersama isteri, Faridah Hasni Ramli, 69, di Shah Alam, Selangor.
BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan
Minat Mohd Hilmi terhadap tumbuhan berkenaan timbul pada 2014 selepas menemui seorang individu yang mampu menanam pokok berkenaan di Malaysia.
Setahun kemudian, beliau terus mengumpul pelbagai jenis pokok tin dan bereksperimen dengan kepelbagaian ciri dan rasa ditawarkan.
Minat mendalam dimiliki Mohd Hilmi kemudiannya dikembangkan menjadi perniagaan pada 2015 dibantu oleh Aliyaa yang ketika itu baru sahaja menamatkan pengajian sarjana bidang seni bina.
Mohd Hilmi mula meminati tanaman buah tin selepas mengunjungi Arab Saudi. — Mutiara Figs
Bersama kakak, Aliya, 34, pada awalnya membuat keputusan menghasilkan teh daripada daun buah tin yang dikatakan membantu menangani penyakit diabetes dan darah tinggi.
Ini disebabkan waktu itu, pokok tin ditanam di laman rumah belum mengeluarkan bekalan buah segar yang konsisten untuk membolehkan mereka mencipta produk tersendiri.
Pelanggan pertama adalah dalam kalangan kenalan dan jiran.
Projek kemudiannya mendapat perhatian dan terus berkembang di bawah jenama Mutiara Figs yang kini sudah mengumpul sebanyak 300 varieti buah tin.
Bermula di laman rumah seluas 204.38 meter persegi, Mutiara Figs seterusnya berkembang operasinya dengan memiliki ladang pengeluaran buah tin seluas 0.81 hektar di Kota Kemuning bermula 2017.
Projek tersebut turut melibatkan kesemua ahli keluarganya termasuk kedua-dua ibu bapanya bersama abang, Mohamed Fariz, 44, dan kakaknya, Ilani Hana Masturah, 40.
Dengan pengembangan tersebut tahun berikutnya jenama berkenaan mendapat kepercayaan menjadi pembekal buah tin premium kepada hotel dan restoran.
Antara buah tin dihasilkan di ladang Mutiara Figs. — Mutiara Figs
"Sebelum itu kami bekal kepada sebuah pasar raya menerusi pengedar popular, tetapi tidak gembira dengan cara mereka menguruskan buah kami.
"Terlalu lama disimpan di gudang, buah sudah tidak segar apabila tiba di pasar raya. Jadi, kami cuba hubungi cef terkenal di hotel dan restoran melalui emel untuk memberikan sample kami.
"Mereka sangat gembira dengan kualiti buah dan mahu menjadikan menu tersendiri bersama buah tin," katanya kepada Majoriti.
Menurut Aliyaa, penggunaan buah tin sememangnya cukup popular dalam kalangan cef luar negara termasuk yang mendapat anugerah kerana dianggap buah premium.
"Ia memang digunakan termasuk cef berbintang Michelin dan mereka perlukan buah itu sepanjang tahun.
"Tapi di luar negara, pengeluaran buah tin bermusim. Di Malaysia kami boleh buat tanam bergilir, jadi setiap hari boleh dapat hasil," kongsinya.
Antara produk berasaskan buah tin dihasilkan Mutiara Figs. — Mutiara Figs
Dalam tempoh tersebut, Mutiara Figs turut mendapat dana daripada program Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB) di bawah Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) sebanyak RM500,000.
Di sebalik tanggungjawab untuk melaksanakan pengembangan perniagaan tersebut, Aliyaa bagaimanapun tetap tidak meninggalkan pekerjaan hakikinya, arkitek.
Untuk memastikan kemapanan operasi, Aliyaa berkata, beliau juga membahagikan tugas bersama kakak, Ilani Hana yang juga arkitek.
"Disebabkan kami mendapat geran daripada TERAJU, saya mula tumpukan 70 peratus dengan Mutiara Figs dan hanya 30 peratus kerja-kerja seni bina.
"Kakak saya pula fokus 70 peratus kerja seni bina di Firma Hilmi Faridah Architects dan 30 peratus untuk Mutiara Figs," ujarnya yang kini bertanggungjawab memantau aspek pemasaran dan operasi syarikat.
"Pada hari kurang sibuk seperti Isnin, Selasa dan Rabu, saya fokuskan urusan kerja arkitek.
"Kini kami mempunyai pekerja yang akan uruskan operasi pengeluaran," katanya.
Mutiara Figs turut menyediakan hidangan manisan berasaskan buah tin. — Mutiara Figs
Kini ladang syarikat itu berupaya menghasilkan antara 300 kilogram (kg) hingga 500 kg sebulan bergantung kepada musim dan keadaan cuaca.
Sementara itu, Aliyaa berkata, selain menghasilkan produk buah tin segar, Mutiara Figs turut mengeluarkan produk berasakan buah-buahan tersebut antaranya, sambal, jem, teh dan termasuk produk penjagaan kulit.
Pada masa sama, menyediakan hidangan makanan meja manisan untuk acara seperti perkahwinan, akikah dan majlis korporat.
Ketika ini, operasi Mutiara Figs turut dibantu oleh lima pekerja bahagian dapur, tiga di kebun dan dua staf pentadbiran.
Bergerak ke hadapan, Aliyaa berkata, mereka mempunyai perancangan bagi menghasilkan produk kesihatan berasaskan buah-buahan tin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram