Tawar lebih 200 jenis kasut jejaka, Zaid rantau banyak negara cari material berkualiti


  • Bizz
  • Selasa, 28 Jan 2025

Zaid (kiri) mula memperkenalkan jenama Zeve pada penghujung 2015. — Zaid Arif Zubir

SIAPA sangka, bermula dengan menjual kasut di pasar malam, Zaid Arif Zubir kemudiannya berjaya mencipta nama dalam dunia fesyen tempatan apabila tampil dengan jenama kasut dan pakaian jenama sendiri, Zeve.

Pada 2011, Zaid yang baru bekerja beberapa tahun selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan perniagaan mengambil keputusan berniaga di pasar malam di Danau Kota, Kuala Lumpur selepas mendapat tawaran menyewa satu tapak daripada seorang kenalan.

Ketika itu, fokus utamanya tidak lain dan tidak bukan adalah bagi menjual kasut kulit, iaitu barangan fesyen yang sememangnya sudah menjadi minatnya sejak kecil.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Bukan kerana 'buatan orang', ini 3 sebab sebab kedai makan gagal tarik pelanggan

Pendedahan terhadap pakaian tersebut bermula sejak beliau kanak-kanak selepas mengikuti ayahnya membeli kasut kulit jenis Oxford di sebuah kedai di Gombak, Selangor.

Minatnya tersebut berlanjutan sehingga meneruskan pendidikan di pengajian tinggi.

Semasa di universiti, beliau turut mencuba pelbagai kasut kulit kegemarannya iaitu loafer termasuk dari segi rekaan dan bahan antaranya suede, calf leathers dan nubuck leather.

Disebabkan itu, Zaid, 37, membuat keputusan menjual kasut loafer jenis kulit PU atau kulit tiruan ketika berniaga di pasar malam menggunakan modal pinjaman sebanyak RM10,000 daripada bekas pensyarahnya.

"Tapi sepanjang lima tahun meniaga di pasar malam, selain kasut, saya juga jual pelbagai jenis barang termasuk selipar, kasut perempuan dan kanak-kanak, cermin mata dan termasuk tali pinggang.

"Bagaimanapun, kasut masih menjadi fokus utama," katanya kepada Majoriti.

Sementara itu, dalam tempoh tersebut, Zaid berkata, beliau turut mengambil peluang meluaskan pengetahuan mengenai perniagaan kasut.

Malah, membuat lawatan ke kilang pengedar kasut bukan sahaja di seluruh Malaysia, bahkan di Thailand dan China.

"Selepas pusing satu negara, saya juga singgah ke kilang pengedar di Thailand, kemudian ke China pula.

"Sejak itu, makin lama saya semakin berani mencuba benda baharu," kongsinya.

Ilmu pasar malam

Dalam pada itu, Zaid berkata, tempohnya berniaga di pasar malam sememangnya memberikan pendedahan terhadap dunia perniagaan termasuk untuk mempelajari kehendak pelanggan dan pasaran.

Asas itu juga yang memberikan keyakinan terhadapnya untuk mula mewujudkan jenama Zeve.

"Sejujurnya, Uptown Danau Kota ini, ia adalah tempat yang bagus untuk belajar tentang apa yang pelanggan nak. Saya rasa itu ilmu paling penting," ujarnya.

"Ketika saya jual kasut lelaki, saya boleh lihat ada juga pelanggan yang kaya dan pakai kasut Gucci datang untuk tengok-tengok barang.

"Kemudian, terdapat juga rakan peniaga menjual kasut kulit terpakai asli sampai harga cecah RM300 dan ada orang beli. Ini bermakna kalau pelanggan itu faham tentang kualiti, mereka sanggup keluarkan duit membeli," katanya.

464444920_593495379671087_5588436547743137094_n

Antara koleksi kasut keluaran Zeve. — Zeve

Sehubungan itu, menggunakan modal permulaan RM20,000 Zaid mula memperkenalkan jenama Zeve pada 2015 yang memberikan tumpuan menjual kasut kulit berkualiti tinggi pada harga berpatutan.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, pada awalnya, mereka memberikan fokus terhadap kasut kulit dengan pengaruh rekaan fesyen Itali yang menurutnya ketika itu masih belum banyak dijual di Malaysia.

Kini, pilihan koleksi pilihan kasut ditawarkan sudah berkembang kepada pelbagai jenis termasuk loafers, but, sneakers dan sandal.

Malah untuk loafers sahaja, ia mempunyai sekurang-kurangnya 10 jenis pilihan antaranya buckle loafers, monk strap loafers, Belgian Loaffer, moccasin loafer, flexi sole, chunky sole dan wideffit.

Menurut Zaid, ketika ini, jumlah jualan kasutnya mencecah 2,000 pasang sebulan dengan rata-rata daripada pelanggannya masih lebih cenderung untuk membeli di kedai berbanding secara dalam talian.

"Setakat ini jualan di kedai fizikal masih tinggi berbanding dalam talian. Ini menunjukkan orang lelaki sebenarnya susah nak beli barang secara dalam talian.

"Lebih-lebih lagi jika yang nak dibeli itu kasut harganya cecah lebih RM300," ujarnya.

Segmen pakaian mula dapat perhatian

Sementara itu, Zaid berkata, sejak enam bulan lalu, segmen pakaian Zeve yang mula diperkenalkan pada 2018 mula mengatasi jumlah jualan kasut jenamanya.

Ujarnya, ini kerana dalam tempoh tersebut, mereka berjaya menjual kira-kira 3,000 hingga 4,000 pakaian yang terdiri daripada seluar, kemeja, sut dan jaket.

Menurut Zaid, idea untuk memperkenalkan segmen pakaian ke dalam perniagaannya itu selepas mendapat dorongan daripada pereka pakaian, Bono Taufik atau lebih dikenali sebagai Abang Bono.

"Ketika mula perkenal jenama ini, saya ada menumpang di kedai Abang Bono dan selalu buat seluar dengannya termasuk untuk pekerja saya di kedai.

"Apabila pekerja gayakan, ramai pelanggan suka, maka saya sarakan tempah di kedai abang Bono.

"Bagaimanapun, selepas makin ramai pelanggan membuat tempahan, abang Bono bagi idea menjual seluar dengan stok sedia ada kerana dia tak mampu menyiapkan kuantiti banyak.

"Jadi dari situ kami bermula dengan jual seluar sebelum sut dan berkembang pakaian lain," ujarnya.

Beri peluang pelanggan akses kepada jenama Zeve

Dalam pada itu, untuk memastikan jenama Zeves mampu dimiliki oleh pelbagai segmen pelanggan, Zaid berkata, mereka turut mempunyai jenis produk khusus untuk pengguna baharu.

"Kita ada produk yang entry level. Contohnya kasut dijual pada harga RM209. Kalau ikutkan harga sebenar lebih tinggi.

"Tapi kami kurangkan harga untuk memastikan pelanggan yang mungkin baru melangkah alam pekerjaan mampu menggayakan produk kami.

"Sekiranya berpuas hati dengan produk kami, berkemungkinan mereka akan terus pakai, selagi kami kosnsiten keluarkan produk cantik dan berkualiti," ujarnya.

464150833_590633489957276_8724064603597778026_n

Segmen pakaian Zeve bermula dengan koleksi seluar. — Zeve

Mengulas mengenai persaingan yang wujud termasuk pelbagai jenama yang dijual di platform media sosial, Zaid berkata, beliau yakin terhadap kemampuan pelanggan membezakan kualiti ditampilkan produknya.

"Walaupun banyak barang dijual di media sosial pada harga murah, tapi kualiti masih tak sama dengan kami.

"Mungkin ada pelanggan yang cuba beli dengan pesaing di media sosial. Tapi apabila pakai terdapat perbezaan kualiti ditawarkan.

"Jadi bagi saya, selagi kita mampu kekalkan produk dihasilkan, pelanggan akan terus percaya dengan kita," ujarnya.

Dalam pada itu, Zaid turut berkata, Zeve turut memiliki perancangan memperluaskan lagi tawaran produk kasut wanita yang koleksinya kini masih dalam jumlah agak terhad.

Ujarnya, langkah tersebut mungkin akan dilaksanakan dalam tempoh suku kedua tahun ini.

"Memang ada perancangan, tapi ketika ini berdepan isu ruang pameran yang terhad di dua kedai yang beroperasi di Setapak dan Subang Jaya.

"Disebabkan koleksi kasut Zeve menawarkan hingga 200 pilihan. Jadi kami merancang mencari kedai dengan ruang pameran lebih besar sebelum melaksanakan perancangan tersebut," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram