DUA ketua jabatan di Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akan dipindahkan ke dua majlis bandaraya lain di Lembah Klang, menandakan permulaan program pertukaran secara bersama oleh kerajaan Selangor.
Pengarah Perbendaharaan MBSJ, Mohd Fadzil Mahat akan dipindahkan ke Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), manakala Pengarah Jabatan Bangunan MBSJ, Nor Azmi Mohd Rosli akan bertuhas di Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Affandi Jaafar dari MBSA dan Haslinda Mohd Rantam dari Majlis Bandaraya Diraja Klang akan mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Mohd Fadzil dan Nor Azmi.
Individu yang akan datang menggantikan tempat mereka juga merupakan pengarah jabatan yang sama di majlis masing-masing.
BACA LAGI: [VIDEO] Nahas malam Tahun Baharu Cina, rider superbike jadi mangsa langgar lari di Nilai
BACA LAGI: Harga diesel naik 5 sen di Semenanjung hingga awal Februari
Datuk Bandar Subang Jaya, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, Program Penempatan Silang (Cross Fertilisation Programme - PCF) adalah arahan kerajaan negeri, dengan fasa pertama dilaksanakan di empat majlis bandaraya Selangor.
Menurutnya, ketua jabatan lain akan dipindahkan dalam beberapa bulan akan datang, manakala fasa kedua melibatkan pihak berkuasa tempatan.
"Amalan ini bertujuan untuk berkongsi pengetahuan dan ia cara terbaik bagi para pengarah memperoleh pengalaman di tempat baharu mereka," ujar Amirul Azizan.
Amirul Azizan turut memaklumkan bahawa tempoh pemindahan itu adalah selama satu tahun mandatori dan satu tahun pilihan, dengan lanjutan tempoh akan diputuskan oleh kerajaan negeri.
“Tarikh pemindahan (bagi Mohd Fadzil dan Nor Azmi) berkuat kuasa pada 3 Februari 2025,” tambahnya selepas mempengerusikan mesyuarat lembaga penuh MBSJ di ibu pejabat majlis bandaraya di USJ5, Subang Jaya.
Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam menyatakan bahawa PCF bertujuan untuk memberi pendedahan kepada pegawai tentang pengetahuan, kemahiran dan budaya kerja baharu melalui penempatan di organisasi lain, yang akan diaplikasikan apabila mereka kembali ke agensi asal mereka.
Mengulas tentang status projek Pasar Awam SK10 (Pasar Awam SK10) di Seri Kembangan, Amirul Azizan berkata, pertandingan reka bentuk semula pasar berkenaan telah menarik lebih 80 penyertaan dengan 10 reka bentuk telah disenarai pendek dan pemenang akan dipilih pada pertengahan Februari ini.
Amirul Azizan berharap kerja-kerja pembinaan akan bermula pada Jun dan siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
"Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memberikan MBSJ peruntukan RM12.5 juta untuk projek itu," tambahnya.
Sebelum ini, dilaporkan bahawa pasar dua tingkat yang dicadangkan akan dibina di atas tapak seluas 0.267 hektar itu akan mempunyai kemudahan moden dan direka bentuk mengikut piawaian bangunan hijau.
Pasar Awam SK10 merupakan pasar pagi yang terletak di Jalan Pasar, Kampung Baru Seri Kembangan.
Peniaga-peniaga pasar itu telah dipindahkan ke tapak sementara di Jalan SK 6/1 bagi membolehkan pasar lama itu dirobohkan dan premis baharu dibina. — The Star/JADE CHAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram