MBPJ tambah 30 CCTV mudah alih, tingkat keselamatan Petaling Jaya


  • Primer
  • Sabtu, 25 Jan 2025

Selain jenayah dan vandalisme, CCTV akan digunakan untuk memantau gelandangan, pembuangan haram serta bencana alam.

SEBANYAK 30 kamera litar tertutup (CCTV) mudah alih tambahan akan dipasang bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Petaling Jaya, Selangor.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon berkata, tambahan itu akan menjadikan jumlah kamera keselamatan di bandar berkenan meningkat kepada 86 unit.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan menyewa kamera CCTV itu selama 36 bulan, dengan anggaran kos RM1.7 juta.

BACA LAGI: Bumbung Indochina antara 5 gunung beriklim sejuk sesuai jadi 'port latihan' kaki hikers

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak hanya nasi 'ketagih' dan wagyu piza yang menggiurkan, ada 5 lagi destinasi makanan 'recommended' di Ipoh

Teknologi CCTV, tambahnya, berkembang dengan sangat pesat dan MBPJ memilih untuk menyewa kerana ia turut meliputi semua kos terlibat termasuk bagi naik taraf dan penyelenggaraan.

Ujar beliau, kamera terbabit akan dipasang di 27 lokasi.

“Sistem CCTV mudah alih boleh membantu MBPJ menyediakan perkhidmatan lebih baik dan meningkatkan keselamatan di bandar,” katanya semasa mesyuarat penuh lembaga MBPJ pada Jumaat.

Mohamad Zahri berkata, tiga kamera akan dipasang di depoh kenderaan terbengkalai MBPJ di SS7, dan dua untuk Taman Rakyat Damai Setia di Damansara Damai.

“Baki 25 lokasi antaranya di Jalan SS20/21, Balai Polis Seapark dan Uptown Kota Damansara pula masing-masing akan mendapat satu kamera CCTV mudah alih.

interview Petaling Jaya mayor Mohamad Zahri Samingon - to get MBPJ's side for Integrity Unit story. —SHAARI CHEMAT / THESTAR

Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon.

“Selain jenayah dan vandalisme, CCTV akan digunakan untuk memantau gelandangan, pembuangan sampah secara haram serta bencana alam,” katanya.

Pada Disember tahun lalu, MBPJ dilaporkan telah meletak lapan kamera di kawasan pembuangan sampah haram bagi melengkapkan 19 kamera CCTV mudah alih sedia ada di lokasi tersebut.

Dalam perkara berasingan, Mohamad Zahri berkata, MBPJ akan menyokong kerajaan Selangor dalam penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) 2026.

Beliau berkata, kemudahan MBPJ mungkin digunakan untuk acara sukan termasuk hoki, skuasy, ragbi, tenis dan bola sepak.

“Cadangan ini masih di peringkat awal dan tertakluk kepada perubahan.

“Trek yang rosak di Stadium MBPJ di Kelana Jaya juga akan dibaiki bagi membolehkan majlis perasmian dan penutupan Para Sukma 2026, jika ia diadakan di sana,” kata Mohamad Zahri.

Beliau menjawab laporan media memetik kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi yang berkata, Stadium MBPJ mungkin digunakan sebagai venue perasmian dan penutupan Para Sukma 2026.

Menurut Mohd Najwan, Litar Antarabangsa Sepang pula sedang dipertimbangkan untuk upacara pembukaan dan penutupan Sukma 2026.

Sebanyak 28 acara sukan akan dipertandingkan pada Sukma 2026 manakala 10 acara akan dipertandingkan dalam Para Sukma 2026. — The Star/ LEW GUAN XI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram