E-SUKAN atau lebih dikenali sebagai sukan elektronik kini semakin mencuri perhatian generasi muda di Malaysia.
Populariti itu selari dengan perkembangan pesat teknologi moden termasuk kehadiran Realiti Maya atau Virtual Reality (VR) yang semakin digemari ramai.
Permainan e-sukan VR kini melangkaui sekadar hiburan sehingga menjadikannya sebahagian daripada acara bertaraf antarabangsa seperti e-Sukan Olimpik.
BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara
Hab e-sukan VR pertama di Malaysia beroperasi di Sungai Long Cheras, Selangor.
Kini anda boleh menikmati pengalaman permainan tersebut dengan mengikut piawaian e-Sukan Olimpik bersama Esports Virtual Arena (EVA) yang membuka hab terbaharu di Sungai Long Cheras, Selangor.
Hab baharu itu menjadikan Malaysia negara keempat yang memiliki pusat permainan EVA selepas Amerika Syarikat, Bahrain dan Perancis.
Lebih menarik, ia adalah hab e-sukan VR pertama di Malaysia yang menawarkan pengalaman tembak-menembak yang penuh aksi dan mendebarkan.
Setakat ini, EVA menyediakan dua kategori permainan utama iaitu Battle Arena dan Moon Of The Dead.
Berbeza dengan permainan tradisional yang hanya memerlukan kawalan butang, arena pertempuran maya itu menuntut ketangkasan fizikal dan daya tumpuan mental.
Konsep unik itu mula diperkenalkan pada Paris Games Week 2019 di Perancis.
Aksi sengit bak medan pertempuran
Permainan Battle Arena melibatkan dua hingga 10 pemain yang bersaing dalam pertempuran penuh aksi.
Dengan teknologi visual VR yang canggih, kawasan berkeluasan 520 meter persegi itu akan bertukar menjadi medan pertempuran digital yang realistis.
Sebelum permainan bermula, pemain diberikan taklimat dan demonstrasi penggunaan alat VR oleh pihak EVA.
Setiap pemain dilengkapi dengan peralatan VR termasuk set kepala dan penderia penjejakan, yang membolehkan mereka bergerak dan berinteraksi dalam dunia maya.
Alat senjata yang menghubungkan visual senjata digital ketika memakai sarung kepala VR.
Mod permainan seperti Strategic Domination menguji kerjasama pasukan untuk mempertahankan kubu sambil melaksanakan misi penyelamatan.
Bagi mereka yang suka cabaran individu, mod Free For All menawarkan peluang untuk menjadi yang terakhir bertahan dalam gelanggang.
Pemain juga boleh memilih daripada pelbagai peta permainan yang direka berdasarkan persekitaran fiksyen termasuk suasana ruang angkasa lepas.
Senjata yang digunakan pula diinspirasikan daripada senjata sebenar tetapi diberi sentuhan futuristik seperti senapang AK 77 yang berasal daripada AK 47.
Pengalaman seram mengujakan
Bagi peminat suasana seram, Moon Of The Dead adalah pilihan terbaik.
Dalam mod itu, pemain perlu bekerjasama untuk bertahan dalam dunia yang dipenuhi zombi dengan menggunakan senjata dan peralatan yang sama seperti dalam Battle Arena.
Setiap tahap menyajikan cabaran baharu, dengan elemen kejutan yang mendebarkan dari peringkat pertama hingga kelima.
Kategori itu hanya dibuka untuk pemain berumur 16 tahun ke atas kerana visualnya yang mengerikan.
Dengan bilangan pemain antara satu hingga 10 orang, medan pertempuran itu menawarkan pengalaman yang menggabungkan ketegangan dan keseraman.
Pengalaman permainan lengkap
Setiap sesi permainan mengambil masa kira-kira 40 minit dengan memberikan aksi yang padat dan penuh cabaran.
Teknologi canggih EVA turut membolehkan sesi permainan distrim secara langsung, membolehkan detik-detik menarik dikongsi dengan penonton di seluruh dunia melalui saluran dalam talian.
Untuk menjadikan pengalaman lebih lengkap, EVA turut menyediakan kemudahan seperti restoran untuk pemain menikmati hidangan dan minuman selepas perlawanan.
Tidak hanya itu, ruang rehat selesa juga disediakan yang sesuai untuk pemain bersantai sambil berkongsi pengalaman mereka.
Jadi, cabar diri anda dan uji kemahiran bertempur dalam dunia teknologi moden dengan mencuba aktiviti di EVA bersama rakan-rakan atau ahli keluarga tercinta. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram