SETELAH 53 tahun berumah tangga, Salleh Harun akhirnya menunaikan janji kepada cinta hatinya, Mariam untuk mengembara ke Kashmir, India iaitu sebuah destinasi yang sejak lama diimpikan.
Janji yang pernah dibuat ketika zaman percintaan itu akhirnya menjadi realiti apabila mereka bersama adik ipar dan seorang lagi saudara ipar Salleh memutuskan untuk menyertai pakej percutian secara berkumpulan ke kawasan pergunungan yang terkenal dalam filem Bollywood itu.
Salleh berkata, mereka menyertai pengembaraan itu seramai 18 orang termasuk ketua rombongan.
BACA LAGI: Dari jurutera awam ke pemanah berkuda, Shaidin turunkan ilmu kepada anak sehingga menjadi juara
Salleh Harun dan isteri, Mariam, di bawah pokok ginkgo emas di Taman Shalimar di Srinagar.
Perjalanan mereka bermula dengan satu malam di Delhi sebelum meneruskan perjalanan ke Srinagar untuk menghabiskan empat malam.
Salleh berkata, dua malam dari tempoh tersebut, mereka bermalam di atas houseboat terletak di Tasik Dal.
"Antara destinasi kami lawati termasuk Gulmarg, Sonamarg dan Lembah Pahalgam yang kesemuanya menawarkan pemandangan luar biasa," kata Salleh.
Di Gulmarg, mereka menaiki kereta kabel yang membawa mereka ke ketinggian 4,200 meter untuk menyaksikan pemandangan menakjubkan.
"Walaupun perlu beratur panjang, pengalaman menaiki kereta kabel tetap sangat mengujakan," tambahnya.
Di Sonamarg, keindahan daun maple keemasan menghiasi landskap sehingga menjadikan aktiviti menaiki kuda ke glasier sebagai salah satu yang paling dinanti.
"Pada mulanya, saya risau tentang keselamatan kerana pergerakan kuda yang agak kasar tetapi akhirnya saya menikmati pengalaman tersebut," kata Salleh.
Salleh Harun tidak melepaskan peluang menunggang kuda di kawasan gunung di Sonamarg.
Sementara itu, di Lembah Pahalgam, Salleh berkata, mereka mengunjungi ke kebun epal untuk merasai buah-buahan segar, selain berpeluang melihat ladang saffron walaupun musim berbunga telah berakhir.
Namun, Salleh mengakui lawatan ke lembah itu agak kurang memuaskan kerana aliran sungai yang kecil dan landskap berbatu.
Meskipun begitu, mereka tetap mengunjungi beberapa taman indah seperti Taman Shalimar di Srinagar dan Delhi.
Walaupun kebanyakan bunga sudah layu, Salleh menganggap dedaun maple berwarna keemasan itu tetap mempesonakan mata.
"Perjalanan ke Gulmarg memakan masa agak lama disebabkan jalan sempit, kesesakan lalu lintas dan pemeriksaan keselamatan yang ketat.
"Namun, pengalaman bermalam di houseboat adalah kenangan paling berharga," ujar Salleh.
Mereka menaiki shikara iaitu bot panjang tradisional untuk ke houseboat yang mereka sewa.
Di sana, mereka menikmati ruang tamu berkarpet, ruang makan yang selesa, serta bilik tidur yang nyaman, walaupun ada sedikit cabaran seperti kekurangan cerek air dan gangguan bekalan elektrik.
"Peniaga tempatan juga sering datang menjual kraftangan, pakaian dan teh. Tawar-menawar adalah perkara biasa tetapi harga yang ditawarkan sangat berpatutan," katanya.
Salleh menganggap setiap detik perjalanan itu sangat berharga meskipun perjalanan itu melibatkan pemeriksaan keselamatan yang ketat di Lapangan Terbang Srinagar, yang dikawal oleh Tentera Udara India.
Untuk mereka yang merancang untuk ke Kashmir, beliau mencadangkan agar datang pada akhir musim bunga atau awal musim panas untuk menikmati keindahan bunga yang mekar.
Namun, musim luruh juga memberikan pengalaman yang unik, dengan suasana yang lebih tenang dan kurang sesak dengan pelancong. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram