[VIDEO] Hijrah Norazilah dan suami bawa tuah dibantu didikan MBPJ, nasi tomato antara menu 'kena tekak' pelanggan KL, Selangor


  • Bizz
  • Jumaat, 06 Dis 2024

Norazilah (kanan) gigih menaikkan perniagaannya yang dijalankan bersama suami tercinta, Hisham (kiri).

KEJAYAAN tidak datang bergolek dan itulah yang telah dibuktikan oleh seorang usahawan, Norazilah Kassim dan suaminya, Hisham Bahari yang berjaya menempuh pelbagai liku kehidupan demi memastikan kelangsungan perniagaannya.

Bermula pada tahun 2010, Norazilah membuka sebuah kedai bernama Kopitiam di Johor Bahru, Johor.

Namun, wanita berusia 52 tahun itu berkata, kedai tersebut terpaksa ditutup akibat pengurangan jumlah pelanggan yang semakin ketara.

"Mampu beroperasi tujuh tahun sahaja. Dulu jual macam-macam jenis makanan seperti nasi lemak, roti canai dan banyak lagi.

"Tetapi jumlah pelanggan semakin menurun sehinggakan kami terpaksa tutup kedai," katanya kepada Majoriti.

Norazilah berkata sedemikian sewaktu ditemui Majoriti dalam Majlis Anugerah Usahawan Berpotensi Petaling Jaya 2024 yang berlangsung di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Khamis.

BACA LAGI: Bumbung Indochina antara 5 gunung beriklim sejuk sesuai jadi 'port latihan' kaki hikers

BACA LAGI: [VIDEO] Tidak hanya nasi 'ketagih' dan wagyu piza yang menggiurkan, ada 5 lagi destinasi makanan 'recommended' di Ipoh

photo_6233258978847080593_y

Norazilah menjual makanan sejuk beku di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Tidak mudah berputus asa, Norazilah dan Hisham memutuskan untuk berhijrah ke Petaling Jaya pada 2018 bagi memulakan semula perniagaan mereka.

"Mula-mula itu, saya buat biskut (cookies) dan menghantar ke ejen-ejen terdekat untuk promosikan biskut itu pada waktu raya," katanya.

Bermula dengan penjualan biskut, akhirnya pasangan suami isteri itu mengembangkan produk makanannya ke makanan jenis sejuk beku.

"Banyak makanan frozen yang saya jual seperti lasagna, sardine puff dan pai ayam. Dahulu makanan frozen sahaja sekarang kami juga terima tempahan bagi makanan yang sudah siap dimasak," katanya.

Setiap Ahad, pasangan itu menjual produk mereka di kios yang dibuka di SS2, Petaling Jaya bermula pukul 8 pagi hingga pukul 11 pagi.

Selain itu, mereka turut menerima tempahan secara dalam talian melalui media sosial Instagram, yang memudahkan pelanggan untuk membuat pesanan secara terus.

"Selain Ahad, memang kami beroperasi dari rumah kerana lebih mudah untuk membahagikan masa bagi mengurus kegiatan harian.

"Saya memasak dan suami menolong. Memang kami berniaga berdua sahaja," katanya.

photo_6233258978847080600_x

Nasi tomato dan ayam masak merah adalah antara menu yang sering mendapat permintaan daripada pelanggan.

Norazilah berkata, pelanggannya di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur mulai melonjak naik semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Ketika PKP, orang ramai tidak dapat keluar rumah, jadi mereka mula mencari alternatif untuk menghantar makanan kepada keluarga atau sahabat tercinta dengan cara memesan dalam online.

"Memang banyak tempahan terutamanya untuk sambutan hari jadi atau majlis kecil," kata Norazilah.

Walaupun perniagaannya semakin berkembang, Norazilah mengakui bahawa cabaran terbesar yang dihadapinya kini adalah kenaikan kos bahan mentah.

"Harga barang mentah kini semakin meningkat. Sebagai peniaga, kami perlu bijak menguruskan kos supaya perniagaan terus dapat bertahan dan memberi kepuasan kepada pelanggan," katanya lagi.

Melalui ketekunan dan usaha yang berterusan, Norazilah dan Hisham berjaya membuktikan bahawa dengan semangat yang tidak pernah pudar, mereka mampu mengatasi segala cabaran.

Memanfaatkan ruang yang ada, Norazilah berkata, dia mengikuti kursus dan program pembangunan keusahawanan yang dijalankan oleh MBPJ bagi melonjakkan perniagaannya.

"Saya sudah berumur jadi tak berapa reti mengenai suntingan video dan sebagainya.

"Selepas MBPJ tekankan pemasaran digital dalam kursus itu, saya sudah mula tahu cara untuk buat suntingan dalam video. Saya juga diajar untuk memasukkan lokasi apabila memuat naik produk di media sosial supaya mudah diketahui pelanggan sekitar Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Kini, perniagaan mereka bukan sahaja menjadi tumpuan pelanggan biasa, tetapi juga syarikat-syarikat besar di ibu kota termasuk syarikat oil and gas (O&G) di kawasan Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

"Pelanggan boleh request makanan apa yang mereka mahukan. Biasanya menu nasi tomato memang ramai orang berminat.

"Kami sering menerima tempahan daripada syarikat-syarikat O&G di sekitar KLCC untuk menyediakan makanan bagi mesyuarat atau menu makanan tengah hari. Kadang-kadang mereka minta untuk sediakan makanan bagi mesyuarat juga," katanya.

Untuk rekod, Norazilah Kassim merupakan antara peserta bagi kursus dan program pembangunan keusahawanan yang diadakan oleh MBPJ pada 2024. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram