[VIDEO] Semangat Mahsuri, ilmu MBPJ iringi kebangkitan Azizul jual kopi Kedah 'home-made' hingga mampu raih lebih RM7,000 sebulan


  • Bizz
  • Jumaat, 13 Dis 2024

Mohamad Azizul Abdul Aziz meraih pendapatan lumayan setelah mengikuti kursus untuk memantapkan perniagaannya.

DIBERHENTIKAN kerja susulan Covid-19 bukan penghalang anak jati Pulau Langkawi, Kedah untuk berjaya dalam perniagaan kopi tepi jalan berjenama Jijo Street Coffee.

Kejayaan pemilik nama sebenar Mohamad Azizul Abdul Aziz itu menjadi bukti bahawa dengan semangat juang yang tinggi, seseorang mampu bangkit semula selepas menghadapi ujian besar seperti pandemik Covid-19.

Azizul berkata, sebelum ini, dia bekerja sebagai kakitangan di sebuah syarikat buku yang bertugas bagi membekalkan buku ke Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Myanmar.

BACA LAGI: Cabaran pemanduan 23 selekoh, kaki Go-Kart patut uji kemahiran di RUD Karting Gamuda Cove

BACA LAGI: KKB 'hidden gem' aktiviti lasak, paragliding dan rafting antara 4 sukan ekstrem wajib cuba

WhatsApp Image 2024-12-12 at 12.59.05 PM (2)

Azizul sewaktu bekerja sebagai Merchandiser di sebuah syarikat buku di Selangor.

Namun, beliau terpaksa diberhentikan kerja akibat kesan penstrukturan semula syarikat berikutan pandemik Covid-19.

"Saya supply buku untuk Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan Myanmar.

"Syarikat tempat saya bekerja terpaksa mengurangkan pekerja setelah mengalami penstrukturan semula," katanya kepada Majoriti.

Selepas beberapa bulan menganggur, Azizul mendapat peluang dalam pekerjaan lain, namun terpaksa berhenti kerana suasana kerja yang tidak sesuai.

Dengan tekad yang kuat, Azizul memulakan perniagaan kopi, Jijo Street Coffee di tepi jalan berhampiran The Curve, Petaling Jaya, Selangor.

"Waktu mula-mula nak berniaga tu saya cuba campur banyak jenis kopi berbeza-beza. Saya pump sendiri di rumah.

"Selepas itu saya buat research and development (R&D). Saya tanya pelanggan okay ke tak.

"Jadinya, akhir sekali saya campurkan 70 peratus kopi Kedah dan 30 peratus kopi Brazil. Aroma dia memang sedap dan rasa pun memikat," katanya.

Lelaki berusia 44 tahun itu berkata, pada awalnya, pendapatan yang diperoleh hanyalah sekitar RM2,000 sebulan.

Namun, perniagaan yang dijalankan sejak September 2022 itu mula melonjak naik setelah mengikuti kursus-kursus berkaitan teknik pemasaran perniagaan yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

"Pendapatan saya kini mencecah antara RM7,000 hingga RM10,000 sebulan sejak mengikuti kursus-kursus yang MBPJ laksanakan," kata Azizul yang menyifatkan kursus tersebut sebagai titik tolak kejayaannya.

Azizul berkata, teknik pemasaran yang dipelajari semasa kursus banyak membantu dalam meningkatkan jumlah pelanggan.

"Saya mula menggunakan hashtag yang berkaitan dengan kopi di media sosial seperti TikTok. Jadinya pelanggan mudah cari.

"Dari situ, ramai pelanggan mula fall in love dengan kopi saya dan menjadi pelanggan tetap," katanya.

WhatsApp Image 2024-12-09 at 6.25.50 PM

Perniagaan Jijo Street Coffee dibuka di tepi jalan berhampiran The Curve, Petaling Jaya, Selangor.

Kopi yang dihasilkannya kini mendapat perhatian ramai, dengan pelanggan dari pelbagai kawasan yang sanggup datang hanya untuk menikmati secawan kopi beraroma tinggi.

"Ada pelanggan dari Rawang, Putrajaya yang sanggup datang untuk membeli kopi saya," katanya.

Azizul berkata, antara waktu yang ramai orang berminat untuk singgah ke kedainya adalah pada hari minggu.

"Kedai Jijo Street Coffee beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga pukul 5.30 petang dengan harga mampu milik iaitu RM5 hingga RM12.

"Kawasan sini memang banyak pejabat, jadinya waktu hari minggu ramai pekerja-pekerja syarikat beli kopi saya jual. " katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram