Majikan tak boleh paksa pekerja ambil cuti tahunan, tanpa gaji


  • Primer
  • Selasa, 28 Jan 2025

Majikan diingatkan agar tidak memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji dalam tempoh perayaan Cuti Tahun Baharu Cina. — Gambar hiasan

MAJIKAN yang berhasrat menutup operasi perniagaan melebihi hari kelepasan am diwartakan sempena Tahun Baharu Cina diingatkan agar tidak memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji dalam tempoh berkenaan.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam satu kenyataan pada Selasa memaklumkan, pihaknya menerima aduan mengenai tindakan segelintir majikan yang memaksa pekerja untuk mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji susulan penutupan operasi perniagaan sebelum dan selepas hari kelepasan am.

KESUMA turut menegaskan, pekerja berhak menentukan tarikh cuti tahunan yang hendak dimohon dan majikan tidak boleh memaksa pekerja mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji bagi mengurangkan kos perniagaan.

BACA LAGI: KESUMA bentang laporan interim penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu

BACA LAGI: Laporan interim berhubung Suruhanjaya Pekerja Gig akan dibentangkan kepada Kabinet pada Jun — KSM

"Ini kerana cuti tahunan dan cuti tanpa gaji hendaklah diberikan atas kehendak dan permohonan pekerja sendiri," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pekerja yang mendapati majikan menolak kelayakan cuti tahunan atau gaji mereka bagi tempoh penutupan syarikat yang melebihi hari kelepasan am, boleh melaporkan perkara itu kepada Pejabat Tenaga Kerja berhampiran.

Ia termaktub dalam peruntukan seksyen 69 Akta Kerja 1955 (Akta 265). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram