MEKANISME aduan merupakan antara pertimbangan penting untuk dimasukkan dalam cadangan Suruhanjaya Pekerja Gig, kata Kementerian Sumber Manusia (KSM).
Kementerian itu memaklumkan, laporan interim mengenai Suruhanjaya Pekerja Gig akan dibentangkan kepada Kabinet pada Jun depan.
Laporan itu akan merangkumi perundangan yang diperlukan dalam bentuk akta baharu iaitu mekanisme aduan, struktur dan fungsi suruhanjaya, implikasi kewangan, penentuan gaji, keselamatan sosial dan perlindungan kesihatan serta mengintegrasikan data pekerja dan penyediaan platform berdaftar.
BACA LAGI: Suruhanjaya Pekerja Gig ditubuhkan bela kebajikan 1.2 juta rakyat
BACA LAGI: Grab Malaysia perkenalkan ciri bidaan tambang di bandar terpilih
Pekerja gig tidak punyai perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem perlindungan sosial kerana ia dikategorikan sebagai pekerja tidak formal.— Gambar hiasan/The Star
"Kementerian telah mengambil tindakan segera berikutan keputusan kerajaan untuk menubuhkan Suruhanjaya Pekerja Gig.
"Sepasukan perunding dari Universiti Malaya (UM) telah dilantik pada April dan Menterinya, Steven Sim Chee Keong yang mempengerusikan mesyuarat pada 14 Mei lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
KSM berkata, penubuhan suruhanjaya itu akan membawa saluran rasmi bagi menangani isu yang dihadapi oleh pekerja gig termasuk aduan berkaitan masalah tersebut.
Kementerian itu berkata, laporan akhir itu akan dibentangkan pada Ogos.
Pada 2 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penubuhan suruhanjaya itu untuk melindungi dan menjaga kebajikan pekerja gig di Malaysia.
Anwar berkata, langkah itu diambil kerana majoriti besar belia Bumiputera terlibat dalam pekerjaan gig, namun sebagai pekerja tidak formal, mereka tidak punyai perlindungan perundangan pekerjaan serta sistem perlindungan sosial.
Ekonomi gig juga adalah satu trend pasaran bebas memberi kebebasan kepada syarikat untuk membina platform dengan tenaga kerja (pekerja) gig tanpa perlu menjadi pekerja sepenuh masa seperti mana ditakrifkan mengikut Akta Kerja 1955. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram